suria

Ho Koh Chye meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Ketua kontingen Malaysia ke Sukan Olimpik di Beijing, China pada Ogos lepas, Datuk Ho Koh Chye meninggal dunia pada pukul 8 malam tadi di Pusat Perubatan Kelana Jaya, dipercayai akibat kanser kelenjar prostat.

Ho, 66, meninggalkan seorang isteri Datin Lee Siew Chan dan dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Rakan baiknya Datuk R.Yogeswaran yang mengesahkan perkara itu berkata, mayat Ho masih berada di pusat perubatan tersebut untuk bedah siasat dan segala urusan pengkebumian akan diuruskan keluarga mendiang.

Yogeswaran yang menganggap Ho sebagai 'abangnya' sendiri berkata, mendiang menjalani pembedahan kecil di Pusat Perubatan Subang Jaya minggu lepas.

"Saya difahamkan, mendiang mengadu sakit lewat petang tadi, mungkin kesan daripada pembedahan itu, dan dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya sebelum meninggal dunia lebih kurang pukul 8 malam tadi," katanya.

Beliau berkata mereka pernah sama-sama mewakili skuad hoki negara pada temasya Sukan Olimpik di Tokyo pada 1964 dan Olimpik di Mexico pada 1968.

Seorang lagi rakan karib mendiang, setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata negara kehilangan seorang pemimpin sukan yang unggul.

Beliau berkata ketika menjadi chef de mission Malaysia ke Olimpik Beijing, mendiang menunjukkan kepimpinan yang terpuji.

"Laporan prestasi kontingen negara semasa di Beijing yang dibentangkan mendiang dua bulan lepas juga amat terperinci dan penting sebagai persiapan menghadapi Olimpik di London pada 2012," katanya.

Ho yang dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 5 Nov 1942, pernah empat kali mewakili negara sebagai penjaga gol skuad hoki kebangsaan pada temasya Sukan Asia di Jakarta (1962), Olimpik di Tokyo (1964), Sukan Asia di Bangkok (1966) dan Sukan Olimpik di Mexico (1968). Pada 1970, beliau diberi tanggungjawab sebagai jurulatih kebangsaan untuk menyediakan skuad Malaysia ke Sukan Asia di Bangkok sebelum menyertai Majlis Sukan Negara (MSN).

Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada 1992 ialah pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa.

Mendiang pernah menjadi timbalan ketua kontingen Malaysia ke Sukan Asia di Hiroshima pada 1994.

Sebelum itu, Ho menjadi ketua kontingen Malaysia ke Olimpik di Beijing pada Ogos lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain