suria

Suspek kes rompak rogol mati dipercayai bunuh diri dalam lokap

ALOR STAR: Seorang suspek kes rompakan kedai emas menggunakan senjata api dan perogol bersiri ditemui mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star di sini, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata suspek ditemui mati di lokap dipercayai membunuh diri menggunakan kain tuala antara 3 petang dan 5.30 petang semalam.

Beliau berkata suspek itu ditahan reman pada 21 November (Jumaat), selepas dipercayai terlibat dengan kes rompakan bersenjata sebuah kedai emas di Jitra baru-baru ini.

"Suspek juga disyaki terlibat dalam kes rogol bersiri di sekitar Kulim," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syed Ismail berkata kejadian itu akan disiasat dan polis masih menunggu laporan bedah siasat mayat.

Sementara itu, ibu mangsa, S. Kanaghambal, 54, ketika ditemui di sini, berkata dia diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya kira-kira 8 malam semalam oleh dua anggota polis yang datang ke rumahnya di Taman Lobak Paya, Kulim.

"Saya mengetahui anak saya ditangkap polis selepas dimaklumkan oleh seorang kawannya tetapi saya tidak tahu atas kesalahan apa dia ditangkap dan ke mana dia dibawa.

"Malam tadi, saya diberitahu dia mati di lokap polis dipercayai menggantung diri tapi saya tidak percaya anak saya boleh membunuh diri kerana dia tidak mengalami sebarang masalah termasuk kesihatan mental," katanya.BERNAMA

Artikel Lain