suria

10 penyokong Hindraf direman 3 hari

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini bagi mengenakan tahanan reman terhadap 10 penyokong Hindraf hingga Ahad ini bagi memudahkan penyiasatan terhadap tindakan mereka mengadakan perhimpunan haram di hadapan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Majistret Nurdiana Mohd Nazari mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah setelah mendengar kes berkenaan selama tiga jam di dalam kamarnya.

Pintu masuk ke bangunan mahkamah itu dikawal ketat oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan.

Lapan daripada penyokong pertubuhan yang diharamkan itu dibawa ke mahkamah, manakala dua yang lain seorang lelaki dan seorang wanita berada di Hospital Putrajaya.

Lelaki terbabit dibawa ke hospital itu malam semalam kerana mengalami masalah buah pinggang, manakala wanita berkenaan, yang dikatakan menghidap penyakit kencing manis, dibawa ke sana kirakira 11.50 pagi ini.

Kekecohan kecil berlaku apabila wanita itu pengsan semasa prosiding diadakan.

Kesemua mereka akan ditahan di lokap Balai Polis Daerah Putrajaya.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 48 Akta Pertubuhan kerana didakwa membantu atau bekerja dengan sebuah pertubuhan haram dan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM15,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, jika disabitkan kesalahan.

Semalam, kumpulan itu, yang terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita dan seorang kanakkanak berusia enam tahun, ditangkap di luar Pejabat Perdana Menteri ketika cuba menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri.

Kumpulan itu mendakwa mereka ke tempat berkenaan "sebagai individu dan bukan sebagai kumpulan Hindraf" bagi menyerahkan satu memorandum bagi menyampaikan jemputan menghadiri majlis sambutan Deepavali kepada Perdana Menteri dan untuk menuntut pembebasan kesemua orang yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk para pemimpin Hindraf dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Bagaimanapun, W. Vwaishnavi, 6, dan ibunya K. Shanti, isteri kepada pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy, yang melarikan diri ke London, dibebaskan malam semalam.

Mereka adalah kumpulan pertama yang ditangkap sejak pihak berkuasa mengisytiharkan Hindraf sebagai pertubuhan haram pada 15 Oktober.

Para pemimpinnya telah ditahan mengikut ISA sejak 13 Disember lalu.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam utama mereka Amer Hamzah Arshad berkata anak guamnya tidak perlu direman kerana polis boleh menjalankan siasatan tanpa menahan mereka.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, semua mereka disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Seksyen 48) kerana bertindak bagi pihak atau mewakili mana-mana pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Hindraf telah diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mereka merupakan kumpulan pertama ditahan selepas Kementerian Dalam Negeri mengharamkan Hindraf minggu lalu.

Terdahulu, salah seorang seorang daripada enam peguam yang mewakili kumpulan berkenaan, M. Manogaran, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, mengkritik kawalan polis yang ketat di kompleks mahkamah.

Manogaran berkata, beliau akan mengadu kepada Majlis Peguam berhubung perkara itu.

"Mengapa terlalu banyak anggota FRU di mahkamah? Ini bukan mahkamah kerajaan ataupun (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Syed Hamid Albar)?"

"Ini kali pertama seorang peguam diminta menyerahkan MyKad bagi membolehkannya menemui anak guaman.

"Malah mereka enggan menerima kad Ahli Parlimen," katanya sambil menambah, mereka tidak sepatutnya direman ketika sambutan Deepavali semakin dekat.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Fong Po Kuan dari Batu Gajah, Lim Lip Eng (Segambut) dan S. Manikavasagam (Kapar) hadir untuk menyatakan sokongan kepada kumpulan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain