suria

Raja Petra dibicara di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR:Perbicaraan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin yang dituduh menerbitkan artikel memfitnah dalam blognya bermula hari ini di Mahkamah Sesyen d sini dengan seorang pakar dipanggil untuk memberikan keterangan.

Harme Mohamed yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Amanah dan Pentadbiran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MMC), merupakan saksi pertama.

Harme, 39, dalam keterangannya hari ini memberitahu mahkamah bahawa Raja Petra yang memuatkan artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" yang diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.

Saksi itu berkata beliau membuat rumusan itu berdasarkan Laporan Pemeriksaan Oleh Unit Siasatan Forensik Komputer MMC yang jelas menunjukkan nama Raja Petra ditulis dalam artikel itu sebagai penulis dan nama domain ialah malaysiatoday.net.

"Berdasarkan dokumen (laporan itu) yang tertera di barisan kedua di atas dokumen itu, nama domain yang dinyatakan ialah malaysiatoday.net," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor.

Kepada soalan Roslan sama ada beliau tahu siapakah pentadbir nama domain laman web itu, Harme berkata:

"Berdasarkan dokumen itu, saya tidak tahu".

Raja Petra, 58, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Raja Petra yang memakai kemeja lengan pendek biru, seluar jeans biru dan selipar berwarna biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Semasa diperiksa balas oleh peguam J. Chandra yang mewakili Raja Petra, Harme berkata beliau tidak mempunyai keterangan lain untuk membuktikan yang Raja Petra ialah orang yang memuatkan artikel itu selain daripada apa yang dinyatakan dalam laporan itu.

Beliau bersetuju yang laporan itu tidak menyatakan sebarang permulaan/akhiran tarikh 25 April di mana artikel memfitnah itu didakwa dimuatkan.

Harme juga bersetuju dengan cadangan Chandra bahawa perbuatan memuatkan artikel itu (melalui laman web) boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada "nama pengguna" dan "kata laluan" pemilik laman web itu.

Chandra : Oleh kerana ia laman web yang popular dan boleh dilayari 24 jam (sehari) dan tujuh hari seminggu adakah anda bersetuju yang penulis atau pemiliknya tidak berada di situ secara fizikal untuk memantaunya?

Harme: Ya.

Chandra : Adakah anda sedar yang Raja Petra telah direman sejak 12 Sept?

Harme : Ya.

Chandra : Adakah anda sedar yang sejak 12 Sept, terdapat beberapa posting lain pada laman web itu?

Harme: Saya ada baca satu tetapi tidak ingat sama ada ia dimuatkan oleh Raja Petra.

Chandra : Siapa yang buat posting itu?

Harme : Mungkin orang lain.

Roslan juga memberitahu mahkamah yang pendakwaan mempunyai enam atau tujuh lagi saksi yang akan memberikan keterangan dan dua saksi awam akan dipanggil untuk memberikan keterangan esok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob disambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain