suria

Qari muda harumkan nama Malaysia di Dubai

MUHAMMAD Ahmad Zahid telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai Ke-12 yang berakhir semalam. - fotoBERNAMA
MUHAMMAD Ahmad Zahid telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai Ke-12 yang berakhir semalam. - fotoBERNAMA
MUHAMMAD Ahmad Zahid telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai Ke-12 yang berakhir semalam. - fotoBERNAMA

DUBAI: Muhammad Ahmad Zahid mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) Ke-12 yang berakhir di sini semalam.

Apa yang lebih membanggakan rakyat Malaysia ialah alhafiz berusia 13 tahun itu juga diberi penghormatan memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Putera Mahkota Dubai Sheikh Hamdan Bin Mohammad Bin Rashid Al Maktoum.

Dengan berbaju Melayu serta bersongkok, Muhammad, dari Sekolah Darul Hikmah di Ampang, Selangor, kelihatan cukup gembira dan tidak putus-putus tersenyum apabila menerima ucapan tahniah daripada para pegawai kerajaan, peserta dan hadirin yang membanjiri Pusat Persatuan Kebudayaan dan Sains, yang menjadi venue pertandingan itu di Al Mamzar.

Muhammad, yang mengambil masa tiga tahun bagi menghafal kitab suci berkenaan, menerima hadiahnya pada upacara berasingan beberapa hari lepas.

Johan keseluruhan DIHQA, yang bermula awal bulan ini ialah Yemeni Fares Al Aagam, naib johan Noor Al Deen Al Younsi dari Libya dan tempat ketiga Khalid Al Ainati dari Kuwait.

Tiga pemenang teratas pertandingan itu masingmasing menerima hadiah 250,000 dirham (1 dirham = 94 sen), 200,000 dirham dan 150,000 dirham, manakala pemenang dari tempat keempat hingga ke-10 menerima antara 65,000 dirham dan 35,000 dirham.

Sebanyak 85 peserta mengambil bahagian.

Muhammad kelihatan berkeyakinan sebaik saja naik ke pentas untuk memperdengar bacaannya di hadapan hadirin yang membanjiri dewan itu malam tadi.

Sebuah akhbar tempatan menyifatkan bacaan Muhammad sebagai "amat mempesonakan".

"Alhamdulillah," demikian ungkapan Muhammad apabila ditanya tentang pengalaman yang dilaluinya, sebelum bergegas keluar dari dewan berkenaan bersama rakanrakan barunya setelah selesai majlis penyampaian hadiah yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Dalam pertemuan dengan Bernama sebelum itu, Muhammad berkata dia mula menghafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun.

Pada mulanya, ia amat susah, tapi lamakelamaan, ia semakin mudah. Minat yang mendalam dalam bidang ini juga banyak membantu saya," kata Muhammad yang berasal dari Kuala Lumpur.

Ditanya tentang rahsia kejayaannya itu, remaja ini berkata: "Usaha keras, doa dan tekun."

Selain Dubai, bakat serta kebolehan yang dimilikinya telah membawa Muhammad ke banyak tempat, termasuk Austria, apabila dia dijemput memperdengarkan bacaan pada 2006.

Muhammad juga sering dijemput mengimamkan solat di pelbagai masjid di Malaysia.

Remaja ini berkata dia menghabiskan sebahagian besar bulan Ramadan di Dubai dan tidak sabar untuk pulang ke tanah air bagi menikmati suasana berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.

Kedatangannya ke sini diiringi pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Mohamad Faizal Omar Baki.

Remaja ini berkata dia terhutang budi kepada bapanya, yang bertugas sebagai penasihat undangundang dan ibunya, seorang doktor gigi, yang telah banyak mendorongnya untuk berjaya.

Semalam, Muhammad menyertai majlis berbuka puasa bersama anggota masyarakat Malaysia di Dubai dan seterusnya mengimamkan solat maghrib.

Syed Mohamad Hasrin mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan Muhammad di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mohamad Faizal berkata qari muda itu telah membeli kasut untuk dirinya serta pelbagai hadiah lain untuk keluarganya dengan wang hadiah yang dimenanginya. Mereka akan berlepas pulang ke Malaysia petang ini.

Walaupun Muhammad tidak termasuk dalam senarai 10 pemenang utama keseluruhan, namun pegawai Jakim itu berkata beliau yakin qari remaja itu akan mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain