suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Perbezaan Antara 'Bena' Dengan 'Bina'

Kata bena dan bina seakan-akan sama bentuknya, sehingga kerap juga orang mengucapkan atau menulis kedua-dua patah kata itu seperti dalam ayat di bawah ini:

1 Ani bina tak bina saja mendengar nasihat ibu.

2 Beberapa orang askar membena jambatan sementara ketika banjir berlaku.

Penggunaan kata bina dalam ayat 1 ternyata salah kerana bina bererti “membangunkan” atau “mendirikan”.  Oleh itu, kata bina sesuai digunakan dalam ayat 2.  Penggunaan kata bena dalam ayat 2 pula salah kerana bena bererti “acuh”, “peduli”, “endah”, “perhatian”.  Jadi, kata bena sesuai digunakan dalam ayat 1 dengan pengertian “acuh tak acuh”.  Makna kata bena yang lain ialah “ombak”, “pasang”, dan “banjir”.


Contoh lain bagaimana kedua-dua patah kata itu patut digunakan dengan betul adalah seperti yang berikut ini:

A

1 Janganlah berbuat tidak bena ketika menghadapi kesusahan.

2 Tidak patut kamu bersikap tidak bena terhadap orang tuamu.

3 Hatinya keras sekali; tidak dibenakannya amaran itu.

4 Perlu sangat kita mengambil bena kepada kepentingan orang lain.

5 Air bena menyebabkan beberapa perahu hanyut.

B

1 Tugas kita sekarang ialah membina suatu negara yang kukuh.

2 Jambatan yang dibina oleh orang kampung musnah dilanda banjir.

3 Pemuda pembina bangsa.

4 Pembinaan bangunan sekolah hampir selesai.

5 Binaan ahli-ahli seni bina Islam tinggi mutunya.


Sekarang perhatikanlah contoh-contoh lain penggunaan kata bena dan bina.

1 Semakin lama semakin banyak lebuh raya yang dibina.

2 Piramid dibina dengan mengorbankan entah berapa banyak jiwa.

3 Jika anda bersikap tidak bena terhadap kejadian sekeliling, akan jadilah anda seekor katak di bawah tempurung.

4 Bahan binaan selalu sahaja sukar didapat.

5 Sifat bena tak bena salah satu punca kegagalan dalam kehidupan.

> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur


DBP, Tips Bahasa

Artikel Sebelum

Cocok Dan Cucuk

Artikel Lain