suria

Meriah kongsi belanja kawan makan colek selepas tarawih

TANAH MERAH: Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, bulan Ramadan pastinya tidak lengkap jika tidak merasa keenakan 'colek' yang biasanya menjadi aktiviti wajib khususnya selepas balik menunaikan solat sunat tarawih.

Aturan aneka 'colek', sama ada campuran buah-buahan, ayam, sotong, perut lembu, paru dan cucur yang dicelup tepung serta digoreng garing dan dimakan dengan kuah pencicah pedas atau manis menjadi daya penarik di kebanyakan kedai makan.

Malah aktiviti ‘makan colek' itu turut menjadi pengerat silaturrahim antara rakan sebaya kerana sering berkongsi wang atau bergilir-gilir membelanja kawan-kawan.

Peniaga colek, Norayu Abdul Rashid, 35, dari Kampung Padang Siam di sini, berkata kedai makannya sentiasa meriah dan menjadi tumpuan penduduk sekitar kawasan itu sepanjang Ramadan sejak beliau mula menjual juadah tersebut kira-kira 10 tahun lepas.

“Antara colek yang mendapat sambutan ialah colek ayam selain beberapa lagi juadah colek buah, perut, popia dan lain.   “Colek ayam ialah ayam panggang yang dicampur dengan peparu, perut lembu, sotong, cekodok dan sosej yang dimakan dengan kuah pencicah perasa pedas dan manis,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, Khamis malam.

Norayu berkata colek ayam berharga RM6 sepinggan itu sentiasa menjadi pilihan selepas jemaah pulang daripada menunaikan solat sunat terawih di masjid berdekatan.

Katanya beliau akan mula berniaga pada 6 petang dan akan menutupnya pada 1 pagi setiap hari sepanjang Ramadan.

Seorang pelanggan, Wan Salmi Wan Zaman, 28, berkata beliau selalu mengunjungi kedai tersebut bersama rakan-rakannya selepas solat tarawih sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Selalunya saya dan beberapa rakan lain akan berkongsi satu atau dua pinggan colek bersama-sama. Hari ini saya yang belanja dan malam lain, rakan lain pula yang belanja,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Khirul Azhar Husien, 28, berkata walaupun telah berbuka puasa dengan pelbagai juadah, namun aktiviti memakan colek selepas solat sunat tarawih bersama rakan atau keluarga seakan menjadi kewajipan.

"Bagi yang berkeluarga mereka akan menikmati juadah itu bersama anggota keluarga, kanak-kanak dan golongan remaja bersama rakan-rakannya. Ia seakan menjadi aktiviti bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka,” katanya.-- Bernama

colek, tarawih

Artikel Berikut

Artikel Lain