suria

PKNS edar bubur lambuk percuma

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan 12,000 bungkus bubur lambuk Kampung Baru secara percuma kepada pengunjung di Kompleks PKNS di sini, bersempena Festival Ramadan (Festira) anjuran perbadanan itu, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datin Dr Noraida Mohd Yusof berkata bubur lambuk berkenaan diedarkan kepada pengunjung di kompleks itu selama tiga hari iaitu pada hari ini (21 Mei), 28 Mei dan 4 Jun depan.

"Pengagihan bubur ini akan turut dibuat di pusat membeli-belah Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Kompleks PKNS Bangi pada 24 dan 31 Mei serta 7 Jun," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata pengagihan bubur lambuk itu dengan kerjasama antara Koperasi PKNS dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Katanya, Koperasi PKNS dipertanggungjawabkan untuk membungkus semula bubur lambuk Kampung Baru itu sebelum diagihkan kepada pengunjung.

"PREC memperuntukkan RM66,000 untuk menyediakan bubur lambuk itu, dan dalam sehari kita akan agihkan 2,000 bekas bubur lambuk.

"Pengunjung boleh mendapatkan bubur lambuk percuma ini bermula 4 petang pada hari dan tempat yang dinyatakan itu," katanya.

Noraida berkata agihan bubur lambuk itu adalah sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat terutamanya pengunjung kompleks PKNS dan pusat membeli-belah SACC yang menjadikan tempat itu sebagai lokasi pilihan untuk membeli barangan keperluan hari raya.

"Selain itu, pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam juga boleh memeriahkan bazar Ramadan yang diadakan di pekarangan kompleks ini. Terdapat 145 gerai jualan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman sebagai juadah berbuka puasa," katanya. - BERNAMA

bubur lambuk, PKNS

Artikel Lain