PETALING JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu."Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini."Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri."Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.