suria

Tenun Pahang Diraja Wajar Dipatenkan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob melihat proses tenunan selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Tenun Pahang Diraja di Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Rabu. -Foto BERNAMA.

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mahu tenun Pahang Diraja segera dipatenkan bagi mengelak produk eksklusif itu daripada diciplak.

Beliau berkata langkah itu perlu dibuat bagi memastikan tenun Pahang Diraja, yang merupakan seni warisan kraftangan negeri itu sejak dua abad yang lepas, kekal menjadi hak milik negeri Pahang.

"Tenun Pahang Diraja adalah identiti negeri Pahang dan untuk itu saya mahu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) supaya menyiapkan kertas kerja berkaitan agar produk ini dipatenkan sebagai hak Pahang bagi mengelak daripada ditiru," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Tenun Pahang Diraja di Kampung Sungai Soi di sini Rabu, beliau berkata PKNP juga perlu mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran tenun Pahang bagi menampung permintaan yang tinggi.

Katanya kaedah penghasilan sepasang kain tenun itu secara tradisional yang mengambil masa berminggu-minggu perlu diganti dengan kaedah moden iaitu menggunakan mesin. Namun begitu, katanya kualiti produk perlu dikekalkan sebagaimana kualiti kain yang dibuat melalui cara tradisional.

Beliau berkata penghasilan produk yang banyak boleh mengurangkan harga kain tenun Pahang Diraja, sekali gus memberi peluang lebih ramai orang memakainya memandangkan pada masa ini, pemakaian tenun itu sering dikaitkan dengan golongan berada.

Beliau berkata R&D juga wajar menumpukan kepada material yang baik dan berkualiti serta bahan pewarna kain yang mesra alam supaya tahan lama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain