suria

Pembentukan Malaysia Cetus Perubahan Teknologi Senjata Negara

KUALA LUMPUR: Ismail Chemenggun, 72, bekas pakar senjata di bawah pasukan tentera British Malaya bersyukur kerana berpeluang untuk menyatakan bahawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 sebenarnya turut membawa titik perubahan kepada pasukan tentera negara.

Semuanya bermula dengan senapang yang digunakan oleh pasukan payung terjun Indonesia yang mendarat di Labis dan Pontian ekoran Konfrontasi yang diisytiharkan oleh negara jiran itu yang menentang gagasan Malaysia.

Pertempuran singkat pada 2 September 1964 di Labis menggemparkan penduduk kampung dengan khabar tersebar bahawa pasukan tentera Indonesia dilengkapi refal 'berbisa' yang mampu memutuskan objek yang ditembak.

Pakar Senjata

Ismail adalah satu-satunya anak tempatan yang berperanan sebagai 'weapons master' bersama pasukan Kor Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (REME) yang berpangkalan di Singapura.

Beliau menerima status 'Master of Artificer Weapons Class XI' daripada School of Electrical and Mechanical Engineering (SEME) di Borden, Hampshire selepas menjalani latihan khas selama 52 minggu dari 1969-1970.

Beliau juga satu-satunya penyelia senjata dari jajahan Asia diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjaga dan melakukan demonstrasi meriam anti kereta kebal semasa lawatan Duke of Edinburgh, iaitu Putera Philip, ke SEME pada tahun 1969.

Senjata Awal Yang Digunakan

Bagi Ismail, Konfrontasi membawa pengajaran penting kepada negara, iaitu pasukan tenteranya yang masih mentah bergantung kepada senjata ditelan zaman yang diwarisi daripada British.

Pada masa itu anggota tentera Malaya dibekalkan dengan refal 'Self-loading rifle' (SLR)) yang besar dan berat, khasnya daripada siri Lee Enfield No. 4 Mk I yang digunakan oleh British semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Ketika itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah menetapkan saiz kaliber piawai yang boleh digunakan oleh negara ahli ialah 7.62mm x 51 NATO.

"Namun, siri Lee Enfield No. 4 Mk I ini terlalu berat dan sukar dibawa untuk pertempuran dalam hutan dengan Komunis, lagipun ia hanya boleh menembak beberapa butir peluru pada satu-satu masa kerana laras senapang ini mudah panas," katanya sambil menunjukkan lakaran senjata lama yang masih disimpannya.

Ia kemudian digantikan dengan Rifle No. 5 Mk I yang juga dikenali sebagai 'Jungle Carbine' yang lebih sesuai untuk pertempuran dalam hutan dan digunakan dengan meluas semasa Darurat (1948-1960). Seingat Ismail, selain refal individu No.4 dan No.5 ini, senjata lain yang digunakan ketika itu ialah sejenis senapang sub-mesingan Sten 9mm dan mesingan ringan Bren, GPMG dan L1A SLR.

Kelebihan Senjata Perang Kaliber

Bagaimanapun, impak tembakan kedua-dua senjata ini akan menyebabkan kerosakan yang dahsyat kepada tubuh mangsa iaitu sebutir peluru cukup untuk memburai tubuh dan segera membunuh mangsa.

Tetapi setiap magazin peluru pula hanya boleh memuatkan paling banyak 30 butir peluru yang mendedahkan pejuang kepada bahaya kerana perlu mengambil masa untuk menukar magazin sebelum menembak semula.

Bagaimanapun, model senjata ini didapati tidak lagi sesuai digunakan selepas pasukan 'weapon masters' dari REME Singapura termasuk Ismail sendiri ditugaskan mengkaji senjata yang digunakan oleh tentera payung terjun Indonesia yang mendarat di Labis semasa peristiwa Konfrontasi.

Kecoh Senjata Berbisa

Veteran ini yang memulakan latihan ketenteraan di Army Boys Trade School di Singapura pada usia 16 tahun pada 1955 berkata, REME mendapati tentera Indonesia mempunyai kelebihan kerana menggunakan senjata berkaliber kecil dan yang ringan berteknologi baru dari Russia, dengan ia boleh menembak lebih pantas.

Berbanding model lama senjata tempatan yang berat dan berkaliber 7.62mm, Indonesia menggunakan senjata ringan dan berkaliber 5.56 mm, lebih cekap dan berkesan. Malah, bilangan peluru yang boleh dimuatkan dalam setiap magazin adalah lebih banyak iaitu antara 40 dan 48 butir selain membolehkan setiap tembakan menggunakan tetapan automatik untuk menembak sehingga lima atau enam butir peluru.

Pihaknya membandingkan kemampuan model senjata tempatan yang digunakan ketika itu dengan senjata lawan melalui pelbagai ujian menggunakan pokok pisang, guni pasir dan papan tebal sebagai sasaran.

Lantas, pakar senjata REME menyimpulkan bahawa faktor senjata yang lebih maju menyebabkan tembakan Indonesia mampu memutuskan objek. Penemuan ini tidak lama kemudian sampai ke pihak atasan yang seterusnya memutuskan sudah tiba masa untuk menggantikan senjata peninggalan British dengan yang menggunakan teknologi moden.

Tetapi perubahan pada senjata yang digunakan hanya bermula pada sekitar awal 1970-an, dengan pasukan keselamatan negara mula mengguna senjata dengan kaliber yang lebih maju dan setaraf dengan negara lain, kata Ismail.

Punca Amerika Kalah Perang Vietnam

Bagaimanapun, bagi Ismail, senjata moden yang lebih kecil dan ringan tidak semestinya baik.

Ismail yang banyak menimba ilmu mengenai senjata mengambil tentera Amerika Syarikat sebagai contoh.

Senjata moden yang lebih kecil dan ringan membolehkan Amerika Syarikat mengguna dan mengusung banyak senjata, magazin peluru dan sebagainya dalam perang di Vietnam.

Tetapi impak daripada tembakan pertama peluru kecil hanya seperti dicucuk hingga tembus dan tidak terus membunuh mangsa.

Oleh itu mangsa yang terkena tembakan masih boleh bangkit semula untuk menentang dan ini juga adalah antara punca kekalahan Amerika di Vietnam.

Selepas Tamat Perkhidmatan

Selepas pihak British berundur secara sepenuhnya pada 1970, Ismail mencari rezeki di kilang peluru pertama negara yang baru ditubuhkan ketika itu iaitu Syarikat Malaysia Explosive Sdn. Bhd. (MALEX).

Pada awal penubuhan MALEX, Ismail hanya berjawatan penyelia pengeluaran. "Kilang peluru ini sangat penting untuk negara, jadi saya ajak rakan seperjuangan untuk menyertai kilang itu," jelas beliau.

Malah ilmu dan pengalaman yang ada menyebabkan beliau dipinjamkan dari tahun 1972 hingga 1974 sebagai penyelia senjata jenis Heckler & Koch (HK) 33 Rigles bagi membantu Kor Jurutera Letrik dan Jentera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Loji Memasang Senjata Kecil di Kem Batu Kentonmen.

Dalam tempoh itu, Ismail selaku penyelia, bersama-sama dengan penolong penyelia, Darus Ahmad, pegawai kawalan mutu, Pegawai Waren II, Mohd Yusuf Ukum dan sembilan pekerja lain telah memasang 42,000 laras senapang HK 33 Rigles berkaliber kecil 5.56 mm x 45mm.

Sebelum itu, beliau dan Yusuf Ukum dihantar untuk mengikuti kursus pemasangan senjata berkenaan di Jerman selama tiga bulan.

Ismail hari ini meniti usia senja, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan pengalaman dan kepakaran Ismail, satu-satunya pakar senjata tempatan yang terlatih, pada satu ketika dahulu adalah sangat penting untuk negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain