suria

Hayati Idea P.Ramlee, Ikon 1Malaysia

Tanggal 24 Mei ini genap 38 tahun pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Bagi mengenang kembali jasa P.Ramlee di persada seni tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal berkongsi dengan penonton program bual bicara berjudul "Aku Dia Dan lagu... P.Ramlee" yang akan disiarkan pada 29 Mei ini pada pukul 9 malam di saluran TV1. - Foto BERNAMA
Tanggal 24 Mei ini genap 38 tahun pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Bagi mengenang kembali jasa P.Ramlee di persada seni tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal berkongsi dengan penonton program bual bicara berjudul
Tanggal 24 Mei ini genap 38 tahun pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Bagi mengenang kembali jasa P.Ramlee di persada seni tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal berkongsi dengan penonton program bual bicara berjudul "Aku Dia Dan lagu... P.Ramlee" yang akan disiarkan pada 29 Mei ini pada pukul 9 malam di saluran TV1. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee adalah seorang karyawan ulung yang dikenang dan disanjung sepanjang zaman menerusi penglibatan langsungnya dalam lebih 60 buah filem dan 360 buah lagu.

Kehandalannya mengarah filem, menggubah dan mendendangkan sendiri lagu-lagu menjadikan beliau seniman yang terus dikenang, walaupun kini sudah 38 tahun beliau meninggalkan kita.

Namun apa yang lebih menarik adalah sebilangan filem arahannya pada 1960an dan awal 1970 sudah menampilkan ciri-ciri perpaduan kaum - Melayu, Cina dan India, hingga ramai kini melihat beliau sebagai ikon 1Malaysia.

Sejak slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melekat di hati rakyat, belum terserlah seorang pun ikon yang dapat dikaitkan dengan 1Malaysia, kecuali P.Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh.

Seorang peminat P.Ramlee, Zainab Bujang, 68, dari Sarawak, berkata seniman agung itu dalam banyak filemnya memaparkan agenda 1Malaysia yang belum menjadi sebutan ketika itu.

P.Ramlee, yang ibarat sebutir permata sepanjang penglibatannya dari tahun 1948 hingga karya terakhirnya pada 1972, baik sebagai pelakon dan pengarah filem, penulis skrip dan penggubah lagu, telah berjaya menggarap semangat 1Malaysia.

“Bukan saja watak pelakon dalam beberapa filemnya terdiri daripada berbilang kaum, temanya bersekitar antara kaum, tetapi juga suasana yang diilhamkan bagi menghidupkan ceritanya juga dapat diterima semua kaum,” katanya.

Lantas, tidak hairanlah sekalipun tanpa diagendakan, rakyat berbilang kaum yang terhibur dan menikmati karya-karya Allahyarham, secara spontan dan seperti sepakat pula mengakui bahawa P.Ramlee sebenarnya telah menghidup dan menyemarakkan semangat 1Malaysia sejak dulu lagi.

Dalam waktu yang terbatas, dapat dikesan antara filem Allahyarham yang menyelitkan semangat 1Malaysia ialah filem Seniman Bujang Lapok terbitan tahun 1961 dan filem Gerimis (1968).

Dalam Gerimis, P.Ramlee yang memegang watak utama sebagai Kamal, seorang anak yang cenderung kepada bidang seni lukis jatuh hati kepada seorang penari kelab malam berbangsa India, Leela.

P.Ramlee menggambarkan di dalam negara majmuk seperti Malaysia perkahwinan campur itu sebenarnya bukanlah asing dan telah membuka mata serta mengupas persoalan masyarakat tidak perlu timbul syak wasangka antara kaum.

Seorang lagi peminat, Aswandy Hassan berkata sejak kecil beliau meminati filem P.Ramlee walaupun baru sekarang memahami dan menghargai mesej-mesej yang tersirat di sebalik watak mahupun adegan tertentu yang menampilkan karakter pelbagai bangsa.

"Sebenarnya banyak contoh di mana 1Malaysia diterapkan dalam filem P.Ramlee. Satu daripadanya ialah adegan dalam filem Anak Bapak yang memaparkan tiga orang berbilang bangsa menziarahi rumah rakan Melayu yang meninggal dunia,” kata Aswandy, yang bertugas di sektor perhotelan. Pekerja swasta K.Ramachandran, 32, berkata filem P.Ramlee ada tarikan tersendiri dan ada kalanya secara tidak langsung mempopularkan sedikit sebanyak bahasa Tamil kepada penonton yang majoritinya orang Melayu.

"Orang Melayu yang tidak tahu, akhirnya sedikit faham perkataan tertentu bahasa Tamil. Melalui filemnya kami sekeluarga juga belajar mengenai budaya Melayu sehingga kami dapat faham dan menerima hakikat keunikannya," katanya.

Katanya, hasil perbualan dan pergaulannya dengan rakan-rakan, mendapati cerita-cerita filem P.Ramlee juga diminati ramai di kalangan masyarakat India kerana banyak persamaan tentang persoalan keluarga dan masyarakat.

Bagi S.Jegathesan, 43, keseronokan menonton filem P.Ramlee telah menjadi hobi keluarganya, yang tidak melepaskan peluang menontonnya di kaca TV, yang membuatkan mereka ketawa bersama dan merenung bersama isu yang dipaparkan.

"Setiap watak di dalam filem seperti "Ibu Mertuaku" dan "Enam Jahanam" sangat menarik. Walau pun berulang kali tengok, saya tidak pernah jemu,” katanya, yang mempunyai koleksi video filem dan lagu P.Ramlee.

Chan Kim Leong, 47, juga mengakui filem-filem P.Ramlee amat diminati anggota keluarganya, terutama filem yang ada campuran pelakon Cina, Melayu dan India, yang baik bagi memupuk kesedaran 1Malaysia.

"Saya kenal P.Ramlee dari kecil lagi. Bapa saya peminat nombor satu P. Ramlee dan tahu hampir semua tajuk filem P.Ramlee,” katanya, yang menambah bahawa pengajaran dalam filem-filem itu berguna untuk semua bangsa.

Antara pengajaran itu, katanya, ialah pentingnya melihat setiap manusia sebagai sama, darah sama merah dan perasaan sakit juga serupa selain perlunya saling menghormati dan menghargai masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu, bagi orang muda seperti Noorazmi Mohd Radzi, 29, walaupun tidak berada di era P.Ramlee, tetapi mesej-mesej dalam filemnya sedikit sebanyak memberi kesan dan iktibar dalam hidupnya.

"Saya pun tak tahu apa ajaibnya tentang cerita-cerita P.Ramlee tetapi setiap kali menontonnya saya dapat rasakan mesej yang cuba disampaikan beliau supaya dapat dijadikan ikutan masyarakat masa kini.

"Melihat watak-watak dan pelakonnya yang berbilang kaum, saya nampak inilah antara mesej 1Malaysia yang sebenarnya dan P.Ramlee adalah ikon 1Malaysia," katanya kepada Bernama.

Bukan sahaja kalangan rakyat biasa, malah cerdik pandai juga meminati dan turut menganalisis keunikan filem-filem dan sentuhan kalbu lagu-lagu P.Ramlee termasuk bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk N. Parameswaran.

Beliau pernah berkata rakyat Malaysia harus menghayati semula beberapa filem P.Ramlee kerana berjaya memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum di negara ini, khususnya antara Melayu, Cina dan India.

Dalam temubual dengan Bernama sebelum ini, beliau dilaporkan berkata filem P.Ramlee boleh mengajar rakyat Malaysia untuk hidup harmoni dan gembira dalam lingkungan pelbagai kaum seperti zaman era 1950-an dan 1960-an.

Pandangan itu tepat sekali kerana dalam suasana sekarang sentimen perkauman dan keagamaan mulai timbul ke tahap yang boleh menjejas perpaduan yang wujud selama ini.

Bendahari Agung parti Gerakan Datuk Ng Chiang Chin pula berpendapat wajar P. Ramlee dinobatkan sebagai ikon 1Malaysia kerana sumbangannya yang jauh mendahului wawasan negara ke arah itu.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa semua kaum di Malaysia meminati dan terhibur dengan karya-karya agung P.Ramlee, yang walaupun kelihatan mudah, sekali sekala lucu tetapi penuh bermakna,” katanya.

Filem-filem P.Ramlee wajar diulang tayang kerana ia mendidik rakyat Malaysia menghargai keharmonian hidup berbilang kaum dan membolehkan rakyat ketawa bersama sebagai satu bangsa, katanya.

Benarlah kata bijak pandai, bahawa untuk melangkah dengan pasti ke hadapan, kita perlu sesekali menoleh ke belakang, mempelajari daripada pengalaman supaya dapat melangkah lebih gagah dan tidak mengulangi kesalahan lama.

“Untuk sambutan ‘Hari Seniman’ ini, marilah kita sama-sama menghayati dan menghargai idea yang diterapkan oleh ikon 1Malaysia ini. Dalam seni garapannya, sudah ada peringatan buat kita,” kata Ng. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain