suria

Mengenali Lebih Dekat Adat Perpatih Menerusi Citra Budaya

SEREMBAN: Negeri Sembilan sememangnya dikenali dengan adat Perpatih, satu sistem unik berhubung undang-undang adat dan kekeluargaan hinggakan penduduk asal negeri ini memiliki identiti yang tersendiri.

Adat Perpatih, yang berasal dari Minangkabau, Indonesia sejak abad ke-14, terus diamalkan sehingga ke hari ini. Malahan, kebanyakan bangunan di negeri ini mempunyai bumbung berbentuk Minangkabau, dan di negeri ini juga menjadi tumpuan suku adat bagi setiap daerah, adat beraja sehingga kepada pelbagai jenis makanan.

Sehubungan itu, telah diadakan program Citra Budaya Perpatih Negeri Sembilan 2011 di sini selama tiga hari baru-baru ini yang berjaya memartabat dan memperkasakan Adat Perpatih di kalangan masyarakat di Negeri Sembilan.

Pelbagai aktiviti kesenian dan adat diadakan sempena program itu yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

Ia bukan sahaja mempopularkan budaya masyarakat pengamal Adat Perpatih Negeri Sembilan, malahan memperkenalkan keunikan Adat Perpatih kepada orang ramai khususnya generasi muda dan memastikan keunikan Adat Perpatih terus diamal dan diwarisi kekal berzaman.

USAHA YANG BERTERUSAN Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan Mohamed Adnan Hamzah berkata, sepanjang program itu berlangsung, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan kesenian dan adat serta pameran, demonstrasi dan seminar di beberapa tempat terpilih di bandar ini dan Kuala Klawang, Jelebu.

Program Citra Budaya adalah kesinambungan atau lanjutan dari program Festival Kesenian Tradisional Malaysia yang dilaksanakan dengan jayanya pada tahun-tahun yang lepas.

Pertukaran nama ini dibuat selaras dengan perubahan format program ini yang diberi nafas baru.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan etnik, kepelbagaian warna kehidupan masyarakat itu boleh didapati melalui kesenian dan budaya yang unik serta kesenian yang sarat dengan nilai-nilai estetika.

Melalui kegiatan kesenian itu, diharap dapat melahirkan suatu bangsa Malaysia yang unggul dengan ikatan perpaduan bangsa yang lebih kukuh.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis itu berkata negara ini kaya dengan tradisi lama yang boleh dicungkil kembali dan jika dipersembahkan menerusi kegiatan seni budaya, mampu menguatkan jalinan antara kaum di semua peringkat.

Beliau berkata menerusi program tersebut, ia bukan saja memelihara warisan seni budaya tetapi salah satu usaha kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Kita merasakan bahawa luak dan daerah adat dapat kita satukan dalam satu himpunan citra rasa ke arah tradisi kita. Kedua ialah bagi mencungkil perasaan cinta kepada budaya agar anak kita terus memupuk perasaan yang sedemikian. Yang ketiga ialah bagi menyatukan gagasan 1Malaysia menerusi citra budaya," katanya.

ANTARA PROGRAM

Daripada pelbagai persembahan pada Citra Budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan 2011 itu, persembahan tarian piring yang disertai 1,000 pelajar Melayu, Cina, India, Sikh dan Orang Asli telah menarik perhatian ramai.

Malahan persembahan itu mencatatkan rekod dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai tarian paling ramai peserta.

Tarian itu memerlukan penarinya menari mengikut alunan rentak tari yang memerlukan mereka memegang dua biji piring pada tapak tangan masing-masing dalam persembahan selama empat minit.

Selain tetamu di kalangan orang kenamaan, turut terpukau dengan persembahan tarian piring itu ialah kira-kira 3,000 orang, yang sesetengahnya menghampiri entas untuk melihat dengan lebih dekat.

Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan turut menyerahkan plak 'Malaysia Book of Records' (MBR) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di atas kejayaan mengadakan persembahan itu.

Turut mengambil bahagian dalam program itu ialah Kumpulan Kesenian Aswara, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan, Melaka, Perak serta Kumpulan Permanis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kumpulan kesenian badan budaya dari Sumatera Barat dan Bukit Tinggi, Indonesia juga mengadakan persembahan pada program itu. - BERNAMA

Artikel Lain