suria

Muay Thai Pilihan Warga Kota Kurangkan Berat Badan

KUALA LUMPUR: Bagaikan satu trend baru bagi masyarakat ibu kota yang mempunyai masalah obesiti untuk memilih sukan Muay Thai bagi menurunkan berat badan setelah gagal melakukannya menerusi aktiviti sukan dan senaman lain.

Semakin ramai warga kota kini memenuhi kem latihan Muay Thai berbanding gimnasium sebagai tempat bersenam pada hujung minggu kerana percaya aktiviti senaman dalam sukan Muay Thai mampu menurunkan berat badan dalam jangka masa singkat.

Jurulatih Muay Thai, Raja Ahmad Tarmizi Raja Abdullah, berkata ada pelatih yang mempunyai masalah berat badan datang ke kemnya di Klang bagi mempelajari teknik asas seni Muay Thai sebagai senaman untuk mengurangkan berat badan secara sihat dan cepat.

"Senaman dan latihan Muay Thai mampu membakar kalori sehingga 1,000 kilojoule dalam tempoh dua jam dan ia ternyata lebih cepat berbanding senaman sukan lain. Namun ini tidak bermakna sukan dan senaman lain tidak bagus untuk kesihatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Raja Ahmad Tarmizi yang mempunyai 200 pelatih di Kem Sitkrumat miliknya, berkata untuk memperoleh hasil dalam apa juga sukan atau teknik senaman sekalipun, pelatih perlulah melakukan aktiviti itu secara berdisiplin dan berterusan.

Katanya senaman Muay Thai bukan hanya setakat menumbuk atau menendang beg pasir tetapi melibatkan teknik senaman lain seperti senaman regangan, berlari dan menggunakan tali lompatan.

"Latihan regangan dalam senaman Muay Thai mampu membantu melancarkan perjalanan darah, manakala latihan menumbuk dan menendang beg pasir menjadikan tulang lebih kuat," katanya.

Raja Ahmad Tarmizi berkata dua orang pelatihnya yang mempunyai berat badan 100kg telah berjaya menurunkan berat badan mereka kepada 80kg dalam jangka masa singkat setelah menjalani latihan di kemnya.

Beliau berkata sukan tempur yang berasal daripada seni perang purba Siam, 'Muay Boran' itu bukan sahaja mengajar bagaimana untuk mempertahankan diri daripada serangan dan membalas serangan, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan, moral dan juga nilai murni turut diterapkan oleh jurulatih.

Raja Ahmad Tarmizi, yang juga seorang pendidik, berkata beliau juga menggunakan sukan Muay Thai untuk membantu murid yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

"Ketika dan selepas menjalani latihan, saya akan selitkan ceramah motivasi dan kesedaran agar mereka mampu menjadi insan yang berguna. "Syukur kepada tuhan dengan berkat usaha mereka kini tidak lagi terlibat dengan masalah sosial sebaliknya memilih Muay Thai sebagai aktiviti selepas sekolah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain