suria

Harapan 'Bersinar Semula' Di Sebalik Tembok Besi

KUALA LUMPUR: "Bila ditahan dalam tembok besi, masa depan kelihatan begitu pudar".

Itulah kata-kata yang boleh menggambarkan keadaan mereka yang didapati bersalah dan terpaksa menjalani hukuman penjara, lebih-lebih lagi untuk tempoh yang lama atau seumur hidup.

Namun ramai di antara umum tidak mengetahui kehidupan sebenar penghuni di penjara-penjara di seluruh negara selepas dijatuhi hukuman akibat jenayah yang dilakukan.

Ada antara penghuni ini merasakan mereka masih punya harapan untuk meneruskan kehidupan dengan mencari masa depan yang lebih baik walaupun banyak masa yang telah dihabiskan di sebalik tirai besi itu.

Bagi Izam (bukan nama sebenar), 22, yang terpaksa menjalani hukuman penjara 10 tahun menganggap kehidupan di sebalik tembok yang memisahkannya dengan dunia luar sejak 2008 adalah satu takdir.

Izam yang merupakan anak kedua dari tiga beradik boleh dikatakan pelajar yang agak pandai dalam pelajaran bila mencatat A bagi setiap subjek dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan keputusan itu, dia diterima masuk ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara dengan mengambil kursus kejuruteraan elektronik.

"Kalau saya tak masuk ke sini (dalam penjara) dah tentu saya dah habiskan pengajian saya yang hanya tinggal dua semester sahaja lagi ketika itu," katanya yang mencatatkan keputusan cemerlang CGPA 3.74 pada peperiksaan akhir semester empat sebelum ditahan di tirai besi itu.

Izam yang merupakan penghuni Penjara Kajang memberitahu Bernama beliau juga mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester ketika berada di IPTA.

Ibu Bapa Mati Di Tangan Sendiri

Izam berkata kejadian yang menyebabkan beliau menjadi penghuni penjara berlaku apabila seorang sepupunya mengatakan mereka sekeluarga 'sakit' dan perlu diubati.

"Seorang sepupu saya mengatakan ibu bapa berpenyakit misteri dan dia mempunyai ilmu yang boleh mengubati penyakit itu".

Terpengaruh dengan kata-kata sepupunya itu, Izam dan ibu bapanya bersetuju dan mengambil keputusan ke rumah sepupunya di ibu negara untuk dirawat.

"Kami pergi ke rumah dia (sepupu). Sampai di sana, sepupu meminta saya dan seorang lagi sepupu yang lain memukul ibu bapa saya untuk menghilangkan 'sesuatu' dalam badan mereka.

"Ibu bapa saya dipukul sehingga mereka tidak sedarkan diri. Saya turut terkena (pukulan) tetapi tidaklah seteruk mana. Kami seolah-olah dipukau dan tidak merasa sakit apabila dipukul.

Izam berkata dia sedar ibu bapanya meninggal apabila pihak polis datang menahan dia bersama dua lagi sepupunya pada malam sebelum menjelangnya hari raya.

Ekoran kejadian itu Izam ditahan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas hukuman membunuh tanpa niat dan dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Kisah Khaleq

Bagi seorang lagi penghuni Penjara Kajang, Khaleq (juga bukan nama sebenar), 24, episod hitamnya bermula bila beliau mahu keluar dari belenggu kemiskinan.

Beliau sanggup merantau dari Sabah ke Kuala Lumpur semata-mata dengan niat untuk membantu keluarga dan mencari wang bagi menyambung pelajaran.

"Di Sabah, saya bekerja sebagai pembuat kek di sebuah kedai kek. Dulu saya bersekolah hanya sampai darjah tiga...saya terpaksa berhenti sekolah awal sebab tak ada duit nak bayar yuran dan belanja sekolah.

"Mak dengan ayah hanya bekerja sebagai penoreh getah, jadi duit menoreh hanya cukup-cukap makan kami sekeluarga," katanya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik.

Khaleq berkata beliau datang ke Kuala Lumpur disebabkan tawaran dari ejen pekerjaan yang mengatakan terdapat kerja kosong sebagai pembuat kek di Puchong, Selangor.

"Ajakan rakan dan upah yang besar menyebabkan saya tidak ragu-ragu untuk datang ke Kuala Lumpur.

"Rupa-rupanya kerja yang dimaksudkan ejen itu bukannya sebagai pembuat kek tetapi sebagai tukang masak di sebuah restoran masakan Cina", kata Khaleq.

Dia berkata akibat tidak pandai memasak, dia seringkali menjadi mangsa marah majikannya.

"Memang saya tidak tahu memasak...saya hanya mempunyai kemahiran membuat kek. Namun begitu saya tetap meneruskan kerja-kerja saya walaupun dikatakan lembap oleh majikan," katanya.

Setelah hampir lima bulan bekerja, Khaleq tidak menerima sebarang upah dari penat lelahnya.

"Satu sen pun saya tak terima dari penat lelah saya selama lima bulan bekerja di sana. Jadi satu hari saya minta kad pengenalan yang majikan saya simpan, namun dia enggan memberi malah mengugut saya jika mahu kad pengenalan saya dikembalikan, saya perlu membayar pampasan kepadanya sebanyak RM2,000".

Marah dengan tindakan majikannya, Khaleq bertekad untuk berhenti kerja dan keluar dari rumah majikannya yang dihuninya sejak bekerja di situ.

"Malam itu berlakulah segala-gala. Saya cuba nak lari keluar namun berjaya diketahui majikan. Kami bertengkar sehingga saya mencapai sebilah pisau yang berada di meja pemotong daging dan menikam dia sebanyak dua kali.

"Kemudian... saya langsung tak ingat apa-apa. Apa yang saya tahu selepas kejadian itu, saya terus keluar dari rumah dan berjalan menuju ke Lapangan Terbang Subang selama dua hari. Dalam otak masa itu memang ingat nak balik Sabah aje," katanya.

Khaleq berkata sejurus dia sampai di lapangan terbang itu, dia ditahan polis.

"Rupa-rupanya saya bukan sahaja bunuh majikan, tetapi juga anak lelakinya yang berusia dua tahun...memang saya tak sedar dan tak ada niat nak lakukan perkara itu," katanya menyesal.

Ekoran kejadian itu, Khaleq dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ditahan sebagai Tahanan Limpahan Sultan (TLS) yang mana akan hanya dibebaskan jika mendapat pengampunan daripada Sultan.

Peluang Belajar Di Penjara

Walaupun ditakrifkan sebagai banduan, namun mereka tetap diberi kemudahan pendidikan yang sama seperti masyarakat di luar.

"Di sini kami dilayan sama seperti mereka di luar. Penjara ini dah macam sekolah asrama penuh bagi saya. Cuma yang kurangnya kami tidak bebas bergerak dan keluar ke mana-mana," kata Izam.

Menyambung pelajaran dalam Diploma Pengurusan Pentadbiran, Izam tetap bersyukur kerana diberi peluang oleh Jabatan Penjara untuk menyambung pelajarannya.

"Saya kini belajar dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Pensyarah akan datang ke penjara untuk mengajar kami pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Manakala hari-hari biasa saya akan belajar secara online melalui modul-modul yang disediakan oleh pihak universiti," katanya yang akan menamatkan pengajian pada 2014.

Sementara itu bagi Khaleq, yang sedang menjalani kursus ijazah Pentadbiran Perniagaan OUM, walaupun kejadian jenayah yang dilakukan itu telah memusnahkan masa depannya, namun semangat Khaleq untuk menimba ilmu tidak pernah pudar.

Katanya, menjadi sebahagian warga di sini membuatkan dirinya lebih matang dalam mengawal tingkah-laku sehingga membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam sembilan tahun yang lalu.

"Kalau saya tidak ada di sini mungkin peluang untuk belajar itu tidak ada dan mungkin saya tidak akan menjadi seorang Islam," kata Khaleq.

"Saya mendapat dorongan guru-guru dan kakitangan penjara. Mereka yang menyokong saya untuk terus belajar. Oleh itu saya bertekad mengambil SPM dan STPM walaupun saya ketinggalan begitu jauh di alam persekolahan.

Khaleq berkata walaupun masa depannya kabur, tetapi dia tetap bersemangat untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

"Susah nak dapat peluang belajar seperti ini. Kalau di luar sudah tentu kos bermain di fikiran...tetapi peluang (belajar) ini ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Penjara dan untuk itu saya akan tamatkan pengajian ini walaupun belum tentu nasib saya baik untuk mendapat pengampunan dan pembebasan". - BERNAMA

Artikel Lain