suria

Ibu Bapa Di Kampung Sapak Tidak Lagi Perlu Berduka

SRI AMAN (Sarawak): Ketika ibu bapa di rumah panjang sekitar Kapit Sarawak kini berpeluang menginap dengan selesa di `Rumah Arau' untuk menjaga anak mereka yang menghadiri pendidikan prasekolah, lain pula cerita bagi mereka di rumah-rumah panjang sekitar Sri Aman.

Mereka ini lebih bernasib baik kerana kelas prasekolah dibuka di rumah panjang mereka demi manfaat ibu bapa dan anak-anak.

Bagi Lia Ateng dari Rumah Ajun, sebuah rumah panjang Iban di Kampung Sapak, Pantu, sebelum ini hari Ahad setiap minggu persekolahan ialah hari yang menyedihkan baginya.

Ini kerana pada hari itu ibu berusia 34 tahun ini terpaksa berpisah dengan anak lelakinya Sulaiman Rosline, 5, yang terpaksa ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu, sejauh empat jam perjalanan dengan bot berikutan ketiadaan kelas prasekolah di kawasan rumah panjangnya.

Kesedihan itu terpaksa dilalui oleh Lia demi masa depan anaknya itu walaupun mengetahui terpaksa menunggu sehingga dua minggu untuk mendengar semula gelak suara dan melihat ragam anaknya.

"Bayangkan emosi seorang ibu melihat anak semuda itu menangis setiap kali dihantar kerana enggan berpisah dengan keluarga? Kadang kala saya berasa bersalah melihat emosi anak saya setiap kali menghantarnya ke asrama," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

TEMPOH BERDUKA SUDAH BERAKHIR

Namun Lia tidak lagi perlu berduka sejak akhir bulan lepas apabila Kementerian Pelajaran mewujudkan sebuah kelas prasekolah di rumah panjangnya.

Kelas prasekolah ini merupakan satu daripada empat yang dibuka oleh Kementerian dengan tiga lagi masing-masing di Rumah Panjang Long Latei (Baram), Rumah Panjang Lubin dan Rumah Panjang Amit (kedua-duanya di Sebauh).

Kelas prasekolah bernilai RM400,000 di Kampung Sapak memberi kemudahan kepada 220 penduduk di tiga buah rumah panjang iaitu Rumah Ajun, Rumah Udin dan Rumah Sadut yang majoritinya diduduki petani.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan kehendak pendidikan anak-anak di kawasan pedalaman Sarawak," kata Lia yang kelihatan gembira sambil memeluk anak lelaki kesayangannya.

Kegembiraan itu turut dikongsi Minah Ambi, 25, yang lega kerana kelas prasekolah ini memudahkan mereka memantau pendidikan awal anak-anak tanpa perlu bimbang tentang kebajikan harian mereka.

"Memang selalu risau bila mengenang anak-anak yang terpaksa tinggal di asrama pada usia lima tahun kerana pada usia semuda ini memang mereka belum lagi boleh hidup bersendirian di luar," katanya.

Ipah Kanang, 60, pula berkata kemudahan kelas prasekolah di rumah panjang ibarat "pucuk dicita ulam mendatang" bagi ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan awal.

KELAS PRASEKOLAH PERLU KERANA MASALAH PERHUBUNGAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kelas prasekolah seumpamanya bakal diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Inisiatif ini akan diteruskan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan tidak kira di mana sahaja mereka berada," kata Muhyiddin semasa merasmikan kelas prasekolah Kampung Sapak pada 26 Jun lalu.

Muhyiddin berkata kelas prasekolah di rumah panjang itu ialah di luar kelaziman kerana buat pertama kali sebuah kelas prasekolah dibina di luar kawasan sekolah.

Kementerian Pelajaran mencadangkan tambahan 1,153 buah kelas prasekolah di seluruh negara dengan kos RM300 juta untuk tempoh dua tahun dalam RMK-10.

Kelas-kelas prasekolah ini dijangka menyumbang kepada sasaran kerajaan dalam meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah empat tahun dan lima tahun daripada 67 peratus tahun lalu kepada 87 peratus pada tahun 2012.

Dalam pada itu kerajaan negeri Sarawak melihat pembukaan kelas prasekolah di rumah panjang sebagai bukti keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap masalah yang dihadapi masyarakat di pedalaman Sarawak

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis pembukaan kelas prasekolah itu berkata dengan adanya kemudahan itu anak-anak di kawasan luar bandar akan dapat menikmati pendedahan pendidikan awal dengan lebih baik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadilah Pengguna Bijak

Artikel Lain