suria

Gatalnya Hidung Saya!

PETALING JAYA: "Saya bukannya selesema, tapi hidung saya gatal dan berair," kata Darshini (bukan nama sebenar), satu pagi ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Itulah rungutan biasa yang didengar daripada kanak-kanak, tentang rasa tidak selesa dan gatal pada tekak, mata dan telinga.

Situasi tidak selesa ini sebenarnya berpunca daripada kesan alergi pada seseorang terhadap debu dan benda halus yang berterbangan di sekelilingnya.

Dan tahap tindak balas terhadap habuk ini, yang dikenali sebagai 'alergen', berbeza bagi setiap individu.

SIMPTOM RINITIS

Tidak selesa, rasa gatal atau iritasi boleh bermula dari mana-mana bahagian badan serta diikuti dengan mata berair, bersin, batuk dan juga tanda-tanda seakan serangan asma iaitu kesukaran bernafas dan semput.

Gejala yang digambarkan di atas ialah 'rinitis' dan penyelesaian yang dicadangkan mudah tetapi lebih kepada cara psikologinya menghilangkan tekak gatal dan mata gatal serta berair. Ia boleh disebabkan oleh satu alergen, yang berbeza dari sumber iritasi lain.

Dan, cara yang terbaik untuk mengenal pasti alergen ialah melalui ujian darah walaupun kosnya agak mahal tetapi keputusannya tepat.

"Ada rinitis berpunca daripada alergi dan ada yang tidak. Biasanya ia berpunca daripada benda iritasi yang berterbangan serta juga perubahan cuaca dan suhu. Ada juga kerana stres, makanan, minuman serta alergen seperti debunga dan habuk," menurut Dr Ong Chun Chiang, seorang pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

Mereka yang mmengalami rinitis biasanya mengalaminya dalam tiga bentuk berbeza di berlainan tempat di badan - rinitis alergi, ekzema serta asma.

Maklumat tentang rinitis diberi Dr Ong pada satu forum kesihatan umum yang diadakan di Pusat Pakar Sime Darby Megah di sini baru-baru ini.

KAWAL HEMBUS HIDUNG

"Semasa menghembus hidung, lebih kuat anda hembus lebih keradangan mukosa hidung berlaku dan menyebabkan cecair terus mengalir keluar," Dr Ong memberitahu mereka yang hadir.

Jawapannya ialah pil anti-histamin tetapi jika diambil pada masa yang lama, kesannya akan memberi mudarat kepada pengguna.

"Dengan melakukan senaman, mereka yang mengalami rinitis tidak perlu bergantung pada pil anti-histamin. Senaman fizikal akan memberhentikan pengeluaran cecair," kata Dr Ong.

Tahap pencemaran juga merupakan satu faktor kerana udara merupakan pembekal utama oksigen untuk pernafasan.

"Baik buka tingkap anda di waktu malam dan menggunakan kelambu. Ini mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa. Tetapi kalau anda tinggal di sebelah lebuh raya ,begitu juga kawasan industri serta jalan yang sibuk, ini adalah mustahil dan anda terpaksa guna ioniser atau pelembab udara dan ini boleh membantu," kata beliau.

Menurut Dr Ong, ramai juga yang mengalami rinitis alergik mengalami pengurangan masalah itu bila bercuti di luar negeri.

Kata Dr ong, alergen berlainan wujud di negara-negara lain dan ada kemungkinan alergen di Malaysia tiada dalam udara di negara asing.

SEMBURAN SALINE HIDUNG

Y.C. Wong, yang hadir pada forum itu, berkata beliau mengalami hidung tersumbat bila tidur mengiring dan ini mengganggu kesihatan beliau.

"Ia menyebabkan saya lebih stres, dan memburukkan rinitis yang saya alami," kata Wong.

Sudah tentu ada penyelesaiannya.

"Ini menunjukan terdapat mukos dan mengganggu pergerakan udara di dalam rongga hidung. Semburan saline nasal (hidung) boleh membantu. Semburan air garam (saline) boleh menghilangkan mukos. Terdapat produk 'Sterimar' di dalam pasaran," kata Dr Ong.

Sterimar terdapat dalam dua pek di pasaran - berharga antara RM14 dan RM28.

Anti-oksidan juga boleh membantu menghalang alergi dan bahan ini banyak dalam buah-buahan serta sayuran.

"Mengamalkan diet seimbang yang mengandungi cukup kandungan sayuran serta buah boleh membantu secara semulajadi. Vitamin boleh membantu tetapi tidak menggalakkan proses pemulihan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain