suria

Tribunal Bukan Sahaja Membela, Malah Pulihkan Harga Diri

KOTA BAHARU: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bukan sahaja membela pengguna malah memulihkan semula semangat jati diri pengguna yang pernah menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab.

Mungkin tidak ramai yang melihat apa kesannya kepada mentaliti pengguna, tetapi pengalaman seorang lelaki, Ng Chai Seng, 56, yang ditipu oleh sebuah syarikat elektrik melalui tawaran cabutan bertuah sejak setahun lepas dengan nilai RM2,960 menyebabkan beliau merasakan dirinya tiada harga diri dan maruahnya tercalar.

Ng yang merupakan seorang penjual baja perladangan berkata walaupun dirinya seorang yang berduit tetapi hakikat apabila duitnya dirampas sebanyak RM2,960 di depan matanya telah memberikan tekanan kerana sakit hati akibat ketidakupayaan dirinya menjaga wang sendiri.

"Bayangkan apabila duit kita diambil depan mata, dengan mudahnya menipu kita dengan kata-kata manis, kita pula tidak dapat buat apa-apa sebab terikat dengan perjanjian jual beli, tetapi barang yang kita harapkan tidak sampai.

"Saya ada duit dan jumlah itu bukanlah sebesar mana, tetapi ini duit saya, saya cari dengan jasad, keringat dan otak saya. Mereka boleh ambil macam itu saja. Sebagai seorang lelaki terasa seperti jatuh maruah saya kalau kawan-kawan saya tahu. Mana saya hendak letak muka saya," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Teruja Dengan Kata-Kata

Ng merasakan rendahnya maruah kerana telah diperbodohkan peniaga terbabit dan menceritakan pengalamannya bahawa kata-kata dan pujukan peniaga kedai elektrik yang terletak di sebuah pasaraya di bandar ini mampu memperdaya sesiapa pun tidak kira golongan berpangkat atau kurang berkemampuan.

"Pada 5 Nov tahun lepas saya ke sebuah pasaraya di bandar ini dan kemudian seorang penjual syarikat elektrik di dalam pasaraya itu mengajak saya ke kedai mereka untuk membuat satu cabutan bertuah.

"Peniaga itu berkata saya begitu bertuah kerana berjaya memenangi tiga barangan elektrik hanya dengan harga RM2,999 sahaja berbanding harga asal yang bernilai hampir RM10,000. Mempercayai kata-kata peniaga itu saya kemudian mengeluarkan kad kredit dan membeli barangan terbabit.

"Bagaimanapun peniaga itu kemudian berkata sekiranya saya membeli satu lagi barangan elektrik yang ditawarkan pada harga RM2,960, maka saya akan mendapat tiga lagi hadiah barangan elektrik secara percuma," katanya.

Beliau berkata, teruja mendengar kata-kata peniaga itu beliau kemudian mengeluarkan sekali lagi kad kreditnya dan membeli barangan terbabit.

Laporan Ke Mahkamah Tribunal Tuntutan

Menurutnya, pada hari terbabit peniaga itu kemudian hanya memberinya enam barangan elektrik yang dibeli termasuk yang diperoleh secara percuma dan mengatakan satu lagi barangan elektrik yang berharga RM2,960 yang dibelinya akan dihantar pada bulan Disember kerana kehabisan stok.

Bagaimanapun katanya, hampir tiga bulan menunggu, barangan yang dijanjikan tidak juga tiba sedangkan setiap bulan beliau terpaksa membayar harga barangan terbabit.

"Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, saya ke Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia(TTPM) Kota Baharu untuk membuat laporan pada 10 Jan lepas," katanya.

Ng berkata, dengan bantuan tribunal itu beliau berusaha menuntut kembali wangnya yang berjumlah RM2,960 meskipun mendapat tentangan hebat daripada syarikat elektrik berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, nasib menyebelahinya apabila pada 11 Feb lepas, syarikat terbabit akur dan membayar kembali wang yang dituntutnya itu.

Banyak Kes Diselesaikan

"Mungkin bagi saya soal harga bukan yang sebenarnya menjadi keutamaan tetapi bagaimana jika yang terkena itu adalah mereka yang susah, yang benar-benar mengharapkan dapat memperoleh barangan yang dijanjikan dan menggunakan pula wang simpanan yang ada, bukankah tindakan syarikat itu sangat menganiaya," katanya.

Beliau yang tampil bagi memberi kesedaran kepada pengguna lain agar tidak terus tertipu dengan helah syarikat elektrik itu turut meminta pengguna memanfaatkan sepenuhnya kewujudan Mahkamah Tribunal Tuntutan bagi mendapatkan pembelaan sekiranya menghadapi masalah sepertinya.

"Terima kasih kepada Mahkamah Tuntutan Tribunal, saya sangat menghargainya dan mula menyedari kepentingan tribunal itu, jika tidak pasti ramai yang terus tertipu dan kerugian," katanya.

Pengerusi Majlis Tribunal Pengguna Rungit Singh berkata, sepanjang tahun lepas sebanyak 6,491 kes tuntutan pengguna difailkan di seluruh negara termasuk 566 kes yang belum diselesaikan.

"Perkembangan ini menunjukkan jumlah kes yang dapat diselesaikan sebanyak 87.2 peratus," katanya, yang juga Presiden mahkamah TTPM.

Dalam perkembangan berkaitan, Rungit berkata, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna cawangan Kelantan memfailkan 201 kes tuntutan pengguna dan 21 kes masih belum dapat diselesaikan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Koleksi Antik Jefri

Artikel Lain