suria

Mengenali Muzik Klasik

MUZIK pengenalan "Toccata and Fugue in d minor" oleh Bach, mudah boleh disalah anggap sebagai muzik latar yang ada kaitannya dengan filem seram.

Bagaimanapun pencinta genre muzik ini sebaliknya cenderung memperakui keindahan melodinya dan keelokan gubahannya yang berupaya menguja rasa menyeramkan atau rengkung bagai disekat dengan perasaan meremangkan.

Daripada penggubah agung seperti Bach, Beethoven dan Rachmaninoff, muzik klasik membangkitkan daya imaginasi dan sensasi pendengarnya.

Sering dianggap sebagai muzik ciptaan para sifu, muzik klasik merupakan sesuatu yang bukan sahaja boleh dinikmati oleh peminatnya tetapi juga mereka yang tidak tahu muzik.

Dan menurut pemain piano yang luar biasa hebatnya, Vladimir Ashkenazy, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk mengharungi pengalaman baru muzik klasik.

Ashkenazy yang berasal dari Rusia disenaraikan sebagai antara pemain piano terkemuka di era moden ini, dan juga seorang pengarah muzik dan pemimpin orkestra yang disegani.

Ashkenazy berada di Kuala Lumpur baru-baru ini bersama Sydney Symphony Orchestra di bawah pimpinannya untuk persembahan dua malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

MULAKAN PADA USIA MUDA

Kerjaya muzik Ashkenazy boleh dikatakan 'luar biasa' dari semua segi.

Beliau mula bermain piano pada usia enam tahun, diterima masuk ke Central Music School, Moscow pada usia lapan tahun selepas membuktikan bakat yang luar biasa.

Sehingga ini, pemain piano berusia 72-tahun ini menghasilkan pelbagai rakaman muzik yang menyebabkan beliau disanjung dan dipuji selain menerima beberapa anugerah Grammy.

Beliau kemudian mengambil peranan memimpin orkestra dan merupakan pemimpin utama Royal Philharmonic Orchestra dan merupakan Ketua Orkestra Czech Philharmonic, dan pengarah muzik NHK Symphony Orchestra di Tokyo.

Bersama pengalaman memimpin orkestra selama 20 tahun, beliau memulakan satu lagi lembaran baru dalam kerjayanya awal tahun ini apabila diterima sebagai pemimpin utama orkestra dan penasihat artistik bagi Sydney Symphony Orchestra (SSO).

Semasa ditemui pada jamuan tengah hari bersama Penny Williams, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Ashkenazy menasihatkan golongan muda supaya mempelajari muzik klasik dengan bersungguh-sungguh.

"Jika anda mahu menjadi pemuzik klasik yang serius, anda perlu bermula awal terutama dengan alat-alat muzik seperti piano dan violin. Ia pastinya sudah lewat untuk menceburi muzik klasik jika anda mula belajar bermain alat muzik pada usia dewasa."

MALAYSIA MEMERLUKAN KONSERVATORI

Lulusan Moscow Conservatory, (sebuah daripada universiti muzik terkemuka di Rusia) Ashkenazy merupakan antara nama dalam senarai alumni yang disegani termasuk Natalya Ageyeva (pemain piano dan pengarah artistik Russian Chamber Music Foundation of Seattle) dan juga pemain violin dan pakar muzik Alexei Gorokhov.

`Conservatory' merupakan kolej, akademi muzik atau universiti muzik dan boleh menjadi sebuah institusi yang bebas atau sebahagian daripada sebuah universiti.

Muzik klasik lazimnya menjadi pengajian utama di dalam kebanyakan konservatori terkemuka dunia seperti Royal Academy of Music, London, Paris Conservatoire dan Juilliard School of Music di New York. Bagaimanapun di negara bukan Eropah dan bukan Amerika seperti Shanghai Conservatory of Music, China, peralatan tradisional masih diutamakan.

Malaysia masih belum mempunyai konservatori sendiri, perkembangan yang menurut Ashkenazy agak malang sekali.

"Malaysia harus mempunyai sebuah konservatori, kerana apa yang berlaku sekarang ini ialah penuntut muzik klasik di sini perlu ke luar negara untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

"Akhirnya mereka akan menetap di negara mereka belajar daripada pulang ke tanah air dan menyertai orkestra tempatan. Ini merupakan kehilangan besar bagi kemajuan muzik klasik di Malaysia.

LEBIH BANYAK PENDEDAHAN KEPADA GENRE INI

Meskipun demikian, Ashkenazy berkata terdapat perkembangan positif di negara ini yang boleh mencetuskan minat yang lebih mendalam bagi genre muzik ini.

"DFP merupakan permulaan yang baik. Dewan orkestra ini merupakan pelaburan yang tepat sekali dalam membantu mendedahkan muzik ini kepada orang ramai."

Beliau berpendapat bahawa penubuhan Orkestra Filharmonik Malaysia juga akan menggamit lebih ramai bakat tempatan untuk mengadakan persembahan di venue ini.

Mengenai hala tuju muzik klasik di negara ini, Ashkenazy berharap Malaysia akan dapat memupuk audien muda bagi muzik ini.

Walaupun telah menceburi muzik sejak 66 tahun yang lepas, Ashkenazy belum bersedia untuk bersara atau memperlahankan rentaknya.

"Saya tidak mempunyai sebarang rancangan, hidup ini penuh dengan kejutan dan saya akan hadapi apa sahaja dalam menempuh kehidupan ini. Saya kini bersama sebuah orkestra bertaraf dunia yang hebat (SSO). Saya sentiasa cuba untuk mencetuskan inspirasi dan berseronok pada masa yang sama."

TARIKAN KLASIK

Bezhod Abduraimov, seorang pemain piano berusia 19 tahun, walaupun seorang pemalu, di atas pentas beliau menunjukkan kehebatannya yang beliau warisi daripada mentor yang disegani.

Dilahirkan di Tashkent, Uzbekistan, pada 1990, Abduraimov, yang merupakan pemuzik solo jemputan bagi jelajah Asia SSO merupakan anak didik Ashkenazy.

Beliau mula bermain piano pada usia lima tahun, dan telah mempersona audiennya sejak persembahan pertama sebagai pemain piano solo pada usia lapan tahun bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan Uzbekistan.

Pemenang hadiah utama Pertandingan Piano Antarabangsa London 2009, pemain muda piano ini telah mengadakan persembahan di Amerika Syarikat, Itali dan Rusia.

Selepas menamatkan pengajian di Uspensky State Central Lyceum di Tashkent, Abduraimov meneruskan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di International Center for Music di Park University, Kansas City sejak 2007.

"Di Uzbekistan, terdapat ramai penuntut muzik klasik, dan banyak okestra yang memberi peluang kepada mereka yang bercita-cita menjadi pemuzik."

Pemain muda piano ini sangat meminati apa yang dilakukannya dan berlatih tiga hingga lima jam setiap hari.

"Muzik klasik merupakan minat saya, dan saya mengagumi kesemua penggubah agung muzik, jadi agak sukar untuk menyatakan siapa yang menjadi pilihan saya.

"Apabila orang di sekeliling saya berkata mereka menikmati persembahan piano saya, ini memberi perangsang kepada saya, dan begitu juga apabila dapat membuat persembahan bersama nama-nama yang disegani dalam muzik. Nasihat saya kepada mereka yang berhasrat untuk menjadi pemuzik ialah mencintai segala apa yang mereka lakukan. Muzik ialah sesuatu yang indah dan mereka harus percaya pada diri sendiri. Dan teruskan berlatih, berlatih dan berlatih!"

Abduraimov berkata sungguhpun untuk menjadi pemuzik profesional memerlukan kita bermula awal, tiada salahnya untuk belajar bermain mana-mana alat muzik bagi diri sendiri pada lewat usia.

MEMPERBESAR AUDIEN DALAM NEGARA

Kees Boersma pula masih ingat lawatan beliau ke DFP hampir sedekad yang lepas semasa mengadakan persembahan bersama SSO sebagai bass utama.

Sebagai sebahagian daripada 95 pemuzik simfoni itu, Boersma berkata orang ramai menerima dan menunjukkan minat besar terhadap persembahan mereka kali ini.

"Audien kali ini hebat, dan saya rasa maklumat balas yang kami terima daripada persembahan-persembahan kami membayangkan rakyat Malaysia mula berjinak dengan muzik ini. Jadi kami benar-benar kagum."

Diasaskan pada 1932, SSO dianggap sebagai antara orkestra terbaik di dunia, dan berpangkalan di Sydney Opera House yang ikonik, ia mengadakan lebih 100 persembahan setiap tahun.

Orkestra ini turut melaksanakan program pendidikan yang membawa banyak kejayaan memenangi anugerah, yang merupakan intipati utama dalam komitmen mereka bagi masa depan muzik simfoni, mendidik audien dan menggalakkan penglibatan generasi muda.

Mereka membawa komitmen yang sama ke Kuala Lumpur, dengan dua daripada pemain violin terbaik di Australia iaitu Dene Olding dan Kirsty Hilton, yang juga anggota okestra itu, mengadakan satu kelas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sekumpulan sembilan penuntut muzik tempatan berpeluang menyertai kelas ini, dengan disaksikan oleh penuntut Aswara dan institusi-institusi di sekitar Lembah Klang.

Walaupun sonata piano romantis Chopin atau simfoni rancak Mahler belum lagi menjadi sebahagian daripada kemestian dalam siaran muzik di Malaysia, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia akan meminati muzik klasik dan tidak lagi menjauhkan diri bila mendengarnya di masa depan.

Kita boleh mulakan dengan mendengar 'Ode to Joy' oleh Beethoven. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain