suria

Ramadan, Merdeka imbau tugas Abdullah di Baling

SETIAP kali tiba bulan Ramadan, peristiwa Pejabat Penerangan daerah Baling, Kedah dibom pengganas komunis kembali segar dalam ingatan bekas Operator Wayang Gambar Jabatan Penerangan, Abdullah Ahmad, 66 tahun.

"Tengah buka puasa, seorang rakan datang beritahu pejabat kena bom komunis," katanya, kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan 1974, sebaik beliau pulang ke rumah dari pejabat penerangan yang terletak di pekan Baling.

Tanpa berlengah, beliau bergegas ke pejabat penerangan itu yang terletak berdekatan rumahnya dan mendapati orang ramai berkerumun melihat dinding dan tingkap pejabat rosak.

"Saya cuba masuk ke kawasan pejabat untuk membawa keluar dua buah Land Rover tetapi dihalang anggota polis atas faktor keselamatan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Piatu, Melaka.

IMBAS TRAGEDI

Mengimbau bagaimana tragedi itu berlaku, Abdullah, anak kelahiran Sungai Korok, Alor Setar, Kedah, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah di kalangan rakan, berkata sebelum kejadian, dua pengganas komunis yang telah menyerah diri dibawa menaiki Land Rover milik Jabatan Penerangan untuk masuk ke kampung-kampung dan kawasan hutan bagi memujuk pengganas komunis lain supaya menyerah diri.

Beliau berkata sepanjang perjalanan, Land Rover yang dipandunya itu diiringi oleh kenderaan polis dan dua pengganas komunis suami isteri itu menggunakan pembesar suara memujuk rakan komunis lain supaya menyerah diri.

"Kita tahu terdapat pengganas komunis di kawasan hutan berhampiran dan mereka mendengar rayuan oleh suami isteri itu," katanya.

Apabila lewat petang, mereka kembali ke pekan Baling dan akan menyambung tugasan itu keesokannya.

"Mungkin pengganas komunis sangka suami isteri komunis yang menyerah diri itu, disimpan di pejabat penerangan sebab itu dia bom pejabat kami," katanya pada hal suami isteri itu ditempatkan di balai polis Baling.

LIMA BELAS TAHUN BERTUGAS DI BALING

Abdullah bertugas di pejabat berkenaan sejak 1969 hingga 1984, bersama tiga lagi rakan.

Dalam tempoh 15 tahun itu, pelbagai peristiwa dilalui oleh Abdullah dan rakannya dan yang paling mencabar bagi beliau ialah tugasan berkaitan "Program Sedar" yang membabitkan pengganas komunis.

Beliau berkata sekitar tahun 70-an, daerah Baling merupakan kawasan laluan dan persinggahan pengganas komunis, persekitarannya masih hutan belantara manakala penghubung dari pekan ke kampung-kampung kebanyakannya terpaksa melalui jalan balak dan jalan ladang.

Melalui jalan balak, bukan asing bagi Abdullah kerana sebelum menyertai Jabatan Penerangan pada 1968, beliau pernah bekerja dengan syarikat pembalakan di Changlun, Kedah.

Ketika itu (1974), Abdullah bersama isteri, Azizah Yahya dan dua anak yang masih kecil mendiami kuarters kerajaan di pekan Baling.

Antara tugas Abdullah pada ketika itu ialah sebagai pemandu, memasang alat siaraya dan memasang wayang gambar.

"Tidur dalam hutan bersama anggota tentera telah menjadi lumrah, mana tidaknya jarak antara kampung dan pekan Baling jauh, melalui jalan balak dan ladang pula tu, kalau musim hujan lagi teruk," katanya, kadangkala dua tiga minggu beliau tidak pulang ke rumah.

PROGRAM SEDAR

Di bawah "Program Sedar" itu beliau masuk ke kampung-kampung seperti kampung Bukit Hijau, kampung Batu Lapan, Wing dan lain-lain lagi untuk berkempen bagi memujuk pengganas komunis menyerah diri dan menyedarkan orang kampung agar tidak bersubahat dengan komunis.

"Kita mainkan filem yang dibekalkan oleh Filem Negara Malaysia, ramai orang kampung keluar untuk menonton wayang. Bila orang sudah ramai, pemimpin seperti pegawai daerah akan berucap menyampaikan mesej daripada kerajaan," katanya.

Kadangkala apabila program tamat tengah malam, Abdullah dan rakan-rakannya bermalam di kampung terbabit atau terus pulang melalui jalan kampung yang gelap dan sunyi kerana esok ada tugasan baru menanti.

Pintu rumah diketuk tengah-tengah malam, sudah menjadi kebiasaan kepada beliau dan keluarga, kadangkala pegawai daerah meminta beliau datang ke pejabat daerah untuk bermesyuarat mengenai operasi yang akan dijalankan pagi esok.

"Isteri saya tidak pernah merungut kerana beliau faham tugasan saya kadangkala isteri dan anak-anak turut ikut masuk kampung waktu malam kerana nak tinggal mereka di rumah bimbang takut terjadi apa-apa, jadi lebih baik bersama saya," katanya.

Beliau berkata ketika itu pengganas komunis bukan sahaja berada di hutan malahan di pekan itu.

PERINTAH BERKURUNG

Cabaran lain ialah apabila setiap kali untuk menghebahkan pengumuman perintah berkurung bagi sesuatu kawasan, beliau dan rakan-rakannya terpaksa memasuki kampung tengah malam.

"Sekitar jam dua, tiga pagi, bila sampai kawasan kampung, kita pasang lagu kuat-kuat untuk bangunkan penduduk yang sedang tidur, kita mulai nampak cahaya lampu dari rumah-rumah, itu tanda mereka sudah bangun.

"Lalu kita guna pembesar suara untuk menghebahkan pengumuman perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata perintah itu perlu segera dihebahkan kepada penduduk kawasan yang dikenakan perintah berkurung sebelum mereka keluar bekerja seperti menoreh getah.

"Askar kita sudah masuk awal lagi dalam hutan di kawasan perintah berkurung itu, kalau penduduk tidak tahu tentang perintah berkurung itu...susah jadinya, nasib tak baik kena tembak," katanya.

Abdullah berkata maklumat seperti pertempuran askar dengan pengganas komunis, kekejaman pengganas komunis terhadap penduduk kampung, tipu muslihat komunis bagi memperdayakan penduduk dan menyaksikan mayat komunis, adalah perkara lumrah bagi beliau.

"Pernah pengganas komunis yang menyerah diri memberitahu saya, kalau mereka hendak tembak saya memang senang sangat, mereka nampak Land Rover saya masuk ke kampung-kampung.

"Ada ketikanya mereka (komunis) keluar bersama-sama dengan penduduk kampung menonton wayang pacak," katanya.

DARAH MUDA

Abdullah berkata ketika itu, mungkin kerana "darah muda" beliau tidak berasa takut atau bimbang diserang pengganas komunis ketika melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Bila dikenangkan kembali semasa bertugas di Baling, memang takut," katanya tidak ramai penjawat awam Jabatan Penerangan merasai pengalaman yang dilalui beliau.

Selepas meninggalkan Baling pada 1984, beliau bertugas di Kelantan, Perak dan Melaka. Jawatan terakhir disandang Abdullah ialah Penyelia Juru Audio Visual Jabatan Penerangan Negeri Melaka.

Beliau yang bersara pada 1998, kini menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di sebuah hospital di Melaka kerana menghidap sakit buah pinggang.

Sempena sambutan Kemerdekaan Negara ke-52 yang disambut 31 Ogos ini, Abdullah berharap rakyat Malaysia terutama generasi muda menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

Kenanglah, betapa susahnya pemimpin terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dan pengorbanan mempertahankan kemerdekaan.

Artikel Lain