suria

Lagenda sukan: Cintakan Malaysia diutamakan, ganjaran jangan didahulukan

KUALA LUMPUR: Pada era 50-an hingga 80-an, bintang sukan negara mencipta kejayaan tanpa mengharap sebarang ganjaran, sekadar berbekalkan semangat untuk mengharumkan nama Malaysia sebagai pendorong.

Ketika itu, tiada insentif tunai RM1 juta serta pencen bulanan jika meraih emas dari Sukan Olimpik atau ganjaran tunai daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi kejohanan tertentu di peringkat dunia, sebagaimana yang dinikmati oleh atlet masa kini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) belum wujud ketika itu, dan program latihan dilakukan atlet atas inisiatif masingmasing dan seringkali memaksa mereka menggunakan wang poket sendiri.

Beberapa lagenda sukan tanah air ketika ditemubual mengakui atlet yang sejati lebih memikirkan sumbangan kepada negara dan tidak menjadikan ganjaran sebagai matlamat utama.

Lagenda bola sepak negara, Datuk Abdul Ghani Minhat berkata atlet di zamannya mempunyai semangat kebangsaan yang kental, sanggup berjuang hingga keringat terakhir semata-mata bagi memastikan nama Malaysia sebaris dengan negara lain yang unggul di bidang sukan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Raja Bola' pada zaman kegemilangannya pada tahun 50-60an berkata selain tiada tajaan jersi dan kasut bola serta sebarang elaun, mereka juga tidak mengharapkan balasan sekiranya mengungguli sebarang kejohanan.

"Yang wujud, cuma perasaan bangga dan mahu melihat bendera Malaysia (kini Jalur Gemilang) dinaikkan di stadium, lebihlebih lagi di stadium luar negara," katanya.

Mengenai ganjaran atau imbuhan, Abdul Ghani berkata insentif tersebut akan datang seiring dengan kejayaan.

"Contohnya, saya hanya mendapat gelaran Datuk yang dianugerahkan oleh kerajaan Pahang pada tahun 2000 sedangkan saya pemain bola era 50-an. Sebab itu saya katakan, bila seseorang atlet cemerlang, ganjaran pasti ada," katanya.

Bagi juara bina badan Mr Asia sebanyak enam kali di antara tahun 19851991, Abdul Malek Noor, pengalaman menuntut dan menetap hampir 10 tahun di Amerika Syarikat dan Hong Kong menjadi pembakar semangatnya untuk menonjolkan nama Malaysia.

Di luar negara, katanya, rakyat asing berlumba-lumba untuk menonjolkan nama negara masing-masing walaupun mereka berhijrah ke negara lain.

Mengakui dirinya terasa kerdil bila berbual dengan rakan yang sering berbangga dengan pencapaian negara mereka, Abdul Malek kemudian mula menceburi sukan bina badan, dengan hasrat mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurutnya, pada zaman kegemilangannya dalam sukan bina badan, tiada atlet Malaysia yang lain ketika itu menyinar di pentas dunia menyebabkan beliau menjadi ikon bagi rakyat Malaysia.

"Saya gunakan populariti itu untuk memberitahu dunia, saya berasal dari Malaysia," katanya.

Lagenda badminton negara, Datuk Choong Ewe Beng atau lebih dikenali sebagai Eddy Chong berkata karier ahli sukan yang semakin singkat akibat persaingan sengit memerlukan atlet berusaha memburu wang ganjaran. Tetapi jika wang menjadi motif utama maka semangat kebangsaan atau jati diri mereka tidak kukuh, katanya.

Eddy yang memenangi 400 kejuaraan di sepanjang kariernya termasuk empat kali menjuarai perseorangan lelaki Kejohanan All England berkata atlet perlu ditanam semangat cintakan Malaysia sejak di awal pembabitan di bidang tersebut.

Selain itu, atlet juga harus ditanam semangat cintakan sukan itu sendiri dan menganggap matlamat utama bergelar atlet untuk meraih kejayaan, sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

Pada zamannya, antara tahun 1940 dan 1950an, katanya, atlet berusaha menonjolkan diri masingmasing untuk dihormati oleh rakan sebaya dan peluang mewakili negara merupakan satu pencapaian tertinggi kepada mereka.

"Dan bila menang di pentas antarabangsa ketika mewakili Malaysia, saya berasa seperti di awan biru," katanya.

Masyarakat kini telah banyak berubah menjadi lebih bersikap materialistik. Atlet juga tidak terkecuali kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat.

"Tidak adil membandingkan semangat kebangsaan atlet dahulu dan zaman sekarang. Keduadua zaman berubah. Hakikatnya, atlet adalah sebahagian daripada masyarakat yang berubah," kata Datuk Dr M.Jegathesan, yang pernah bergelar "orang terpantas di Asia atau Flying Doctor" kerana kepantasannya dalam acara trek pada tahun 60-an.

Dr Jegathesan yang kini timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpendapat secara keseluruhannya, atlet negara masih mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi walaupun dilimpahi pelbagai kemewahan.

Sementara pengkritik sukan terkenal tanah air, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula bimbang dengan jati diri atlet Malaysia yang pada pendapatnya semakin terhakis.

Menurutnya, suatu ketika dahulu, hanya pemenang pingat emas dalam sesuatu kejuaraan mendapat ganjaran menyebabkan atlet berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tempat pertama.

"Tetapi kini, pemenang pingat gangsa juga mendapat ganjaran. Ini sedikit sebanyak melemahkan semangat juang atlet kerana mereka tahu, jika mendapat gangsa sekalipun, pasti ada ganjaran," katanya.

Sikap materialistik, katanya, akan mengikis semangat jati diri di kalangan atlet dan beliau secara peribadi berpendapat semangat tersebut semakin sukar dicari di kalangan atlet masa kini. BERNAMA

Artikel Lain