Bukit Fraser tetap gamit pelancong - Rencana | mStar

Bukit Fraser tetap gamit pelancong

BUKIT Fraser bukanlah nama kecil dalam industri pelancongan negara.

Terletak di Banjaran Titiwangsa, Pahang, ia merupakan kawasan pelancongan tanah tinggi yang menarik kerana suhunya antara 17 dan 24 darjah Celcius.

Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,280 meter dari aras laut. Terletak kira-kira 105 kilometer dari Kuala Lumpur, di sini terdapat banyak bangunan dan banglo dibina mengikut gaya dan cita rasa kolonial British.

Pekannya agak kecil, dikenali sebagai 'Little England' dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik.

Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser.

Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.

Bagi mereka yang pernah berkunjung, pastinya keindahan flora dan faunanya cukup memikat. Udaranya yang segar cukup menenangkan bagi mereka yang mahu "menyatukan" diri dengan alam semula jadi yang luas menghijau itu.

SUNTIKAN BARU UNTUK 'THE LITTLE ENGLAND'

Menyedari bahawa 'Little England' ini perlu diberikan suntikan baru, kerajaan memperuntuk sebanyak RM30 juta bagi membangunkan kembali Bukit Fraser menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Ariffin berkata jumlah itu ialah bagi projek pembangunan fasa pertama iaitu memperbaik semula bangunan-bangunan lama di sini.

"Kementerian Pelancongan serius dalam usahanya memulihkan kembali Bukit Fraser sebagai sebuah destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

"Usaha pemulihan itu akan dilakukan secara berperingkat supaya ia dapat menarik semula kedatangan pelancong ke sini seperti zaman kemuncaknya sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama pada pertandingan fotografi alam semula jadi Bukit Fraser, baru-baru ini.

KARNIVAL BERKONSEPKAN KELUARGA

Selain itu, Amran berkata menerusi sokongan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) dan Majlis Daerah Raub, acara yang dijadualkan tahun ini juga akan dilaksanakan secara besar-besaran tahun depan.

"Sasaran kami ialah seramai 35,000 pengunjung dalam tempoh sebulan, dan kami juga mengharapkan jumlah itu lebih tinggi ketika musim percutian sekolah atau hujung tahun," katanya.

Amran berkata Tourism Malaysia Pahang dengan kerjasama Kerajaan Pahang, Majlis Daerah Raub, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Hotel Shahzan Inn, The Pines Resort serta Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga mengadakan karnival berkonsepkan keluarga di sini.

"Karnival itu akan menyediakan lapan program utama bermula Jun dan berakhir pada hujung tahun ini sebagai tarikan mengajak pengunjung ke pusat peranginan ini," katanya.

Program itu ialah pertandingan fotografi alam semula jadi, pertandingan mengenal burung antarabangsa Bukit Fraser, kejohanan memanah, kejohanan golf, pencarian harta karun, kejohanan paintball, berbasikal mini merentas pekan Bukit Fraser dan kejohanan woodball.

"Kami juga akan menjadikannya sebagai acara tahunan, dan sebagai permulaan, program berkenaan diadakan secara berperingkat supaya ia sentiasa dapat menarik pengunjung ke sini," katanya.

Berkenaan pertandingan fotografi alam semula jadi itu, Amran berkata ia merupakan acara permulaan bagi karnival berkonsepkan keluarga itu yang dirangka oleh Tourism Malaysia Pahang bagi memupuk pemahaman pengunjung mengenai kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.

"Kami berharap menerusi pelbagai program yang dirangka ini, Bukit Fraser akan kembali menjadi destinasi utama pelancongan tanah tinggi negara," katanya.

Terdapat dua laluan ke Bukit Fraser iaitu dari Kuala Lumpur menuju ke Rawang, Kuala Kubu Baharu, Ampang Pechah dan Gap sebelum mendaki ke Pekan Bukit Fraser.

Laluan kedua ialah dari Kuala Lumpur ke Bentong, Raub, Tras dan Gap. Seterusnya mendaki dari Gap ke Pekan Bukit Fraser. BERNAMA

Artikel Sebelum

A world still under his spell

Artikel Berikut

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain