suria

Hub halal Tanjung Manis mampu dominasi industri halal dunia

KALAU pada awal tahun 90an, bandar baru Tanjung Manis lebih dikaitkan dengan industri perkayuan namun tanggal 18 Feb lepas menjadi titiktolak ia akan melalui proses sebagai zon industri di Sarawak.

Antara projek pembangunan bandar baru ini yang dikenalpasti ialah industri perikanan laut dalam, industri berasaskan kelapa sawit, industri berasaskan petroleum dan gas selain industri perkapalan.

Pada pelancaran halal hub Tanjung Manis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Feb menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pajakan tanah dan permit untuk memasuki tapak melibatkan 11 syarikat pelabur dan pihak Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bernilai hampir RM4 bilion.

Sebelas syarikat pelabur itu terdiri daripada enam pelabur dari Taiwan dan lima pelabur tempatan, yang menaruh keyakinan terhadap Hub Halal Tanjung Manis berpotensi sebagai pusat baru pengeluaran produk halal di rantau ini.

Dengan pelancaran halal hub, Tanjung Manis dijangka menambah lagi kepelbagaian aktiviti ekonomi bandar baru Tanjung Manis yang sedia ada.

Akuakultur

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, syarikat terbabit akan melaksanakan projek akuakultur, biotech, penternakan, perladangan, pemprosesan makanan halal serta projek penyelidikan dan pembangunan.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran pelabur luar seperti Sea Party Group untuk melaksanakan projek akuakultur, penternakan ikan dan udang, penternakan ayam dan rumpai laut secara besar-besaran menggunakan teknologi moden dan mesra alam", katanya pada majlis pelancaran Hub Halal Tanjung Manis baru-baru ini.

Enam syarikat Taiwan yang bersetuju melabur di Hub Halal Tanjung Manis ialah Sea Party Microbes Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM1.04 bilion, Sea Party Aquaculture Sdn Bhd (RM113 juta), Sea Party Technology Sdn Bhd (RM480 juta), Sea Party Industry Sdn Bhd (RM90 juta), Sea Party Biotech Industry Sdn Bhd (RM150 juta) dan Sea Party Technology R&D Centre Sdn Bhd (RM20 juta) dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM1.8 bilion.

Cadangan projek

Selain enam syarikat Taiwan, lima lagi syarikat tempatan yang akan turut melabur di Hub Halal Tanjung Manis iaitu Najee Brothers Sdn Bhd (RM2 bilion), Golden Priority Sdn Bhd (RM45 juta), Intigrati Sdn Bhd (RM100 juta), Pertanza Sdn Bhd (RM10 juta) dan Musyati Sdn Bhd (Sarawak) (RM30 juta) dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM2.1 bilion.

Awang Tengah berkata 11 pelabur terbabit akan melaksanakan projek akuakultur, biotech, ternakan, perladangan, pemprosesan makanan halal serta projek penyelidikan dan pembangunan antara pihak pelabur dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka).

"Sebelum ini Pusaka dipertanggungjawab untuk membangunkan Tanjung Manis mendapat peruntukan sejumlah RM135 juta untuk membangunkan infrastruktur asas untuk projek hub halal di Tanjung Manis", katanya.

Sejak pengumuman projek Hub Halal Tanjung Manis Mei tahun lepas iaitu semasa Forum Halal Sedunia di Kuala Lumpur, PUSAKA telah menerima banyak cadangan projek industri berasaskan halal yang akan melibatkan tanah seluas 16,000 hektar dan menjana 3,000 peluang kerja kepada penduduk tempatan.

Infrastruktur

Setakat ini terdapat tiga hub halal di seluruh negara masih dalam perancangan seperti Malaysia International Halal Park (MIHP) di Selangor seluas 2,756 hektar, Zamcorp Niaga (Kumpulan Halal Hub)Selangor (2,000 hektar) dan Halal Park Hadhari CattleKedah (1,000 hektar).

Selain hub halal yang dalam perancangan, Malaysia kini telahpun mempunyai Hub Halal Pulau Indah Selangor yang dirasmikan pada 2003 selain Hub Pengedaran Halal di Zon Bebas Tanjung Pelepas yang dirasmikan pada 2006.

Malaysia juga mempunyai taman halal di Gambang Pahang seluas 100 hektar, Taman Halal Pedas Negeri Sembilan (55 hektar), Taman Halal Melaka di Serkam (127 hektar) dan Taman Makanan Halal Perda Pahang (10 hektar).

Sejajar dengan langkah untuk mengerakkan kemajuan Tanjung Manis sebagai hub halal utama negara, pihak PUSAKA dipertangungjawab untuk membangunkan lebih banyak prasarana termasuk kemudahan infrastruktur di Tanjung Manis. Beberapa projek prasarana utama seperti pembinaan Jalan Serdeng sepanjang 20 kilometer dengan kos RM121 juta dari Sibu ke Tanjung Manis mampu untuk meransang pembangunan di Hub Halal Tanjung Manis pada masa akan datang.

Langkah tepat

Pihak PUSAKA juga merancang untuk menaik taraf kemudahan seperti pelabuhan, lapangan terbang, kemudahan perbankan dan jalan dengan kos mencecah hampir RM5 billion di Bandar Tanjung Manis untuk memudahkan lagi pengurusan hub halal dan pihak pelabur.

Langkah untuk mewujudkan Hub Halal Tanjung Manis sememangnya tepat sekali iaitu ketika hampir 80 peratus produk makanan dunia didominasi oleh negara bukan Islam seperti Australia, Brazil, New Zealand, China dan Thailand.

Ketika ini Malaysia mengeluarkan produk makanan bernilai hampir AS$10 bilion dan daripada jumlah tersebut hampir 85 peratus daripada produk makanan dihasilkan oleh syarikat bukan bumiputera.

Di dunia industri halal terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu perkhidmatan, makanan dan produk yang melibatkan elemen seperti perbankan, kesihatan, teknologi dan penyelidikan.

Dengan jumlah penduduk Islam mencecah 1.61 bilion, Asia Tengah dan Selatan yang mempunyai jumlah penduduk Islam seramai 584 juta orang menjadi pasaran utama produk halal dunia yang bernilai hampir AS$175 juta setahun.

Manakala Afrika dengan 461 juta penduduk Islam menjadi pasaran makanan halal kedua terbesar dengan pasaran mencecah AS$115 juta.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam pastinya mempunyai banyak kelebihan dan kemampuan untuk menjadi pengeluar utama produk halal dunia khasnya dalam komponen dalam industri halal seperti makanan, produk dan perkhidmatan. BERNAMA

Artikel Lain