suria

Adil dan beramanah dalam tadbir urus

PADA 2005 Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) menganjurkan seminar bertemakan "Kerajaan Adil dan Beramanah" bertujuan membincangkan beberapa prinsip pendekatan politik sebuah kerajaan yang adil dan beramanah dan mengemukakan resolusi seminar itu kepada kerajaan.

Bulan lepas Ikim mengadakan satu lagi muzakarah hampir serupa bertajuk "Adil dan Beramanah Dalam Tadbir Urus" yang disertai 150 wakil daripada universiti, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan majlis agama.

Muzakarah itu antara lain berhasrat merumus dan mengenal pasti penunjuk-penunjuk bagi sebuah kerajaan adil dan beramanah dari segi Islam dan amalan universal.

Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan antaranya oleh Ketua Pengarah Ikim Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al Attas, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Korporat, Jabatan Perkhidmatan Awam, Mohamed Musaddik Abdul Majid, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Ketua Editor (Akademik) Penerbitan MPH Dr Mesut Idriz.

Artikel ini memetik pelbagai perkara berkaitan daripada beberapa kertas kerja yang dibentangkan pada muzakarah itu.

Keadilan sosial

Wan Mohamad dalam kertas kerjanya menarik perhatian kepada keadilan sosial sebagai antara komponen penting bagi menjayakan sebuah kerajaan yang adil dan beramanah dalam tadbir urusnya.

Beliau memberi definisi keadilan sosial sebagai peletakan sesuatu pada tempatnya yang betul yang mempunyai hubungan rapat dengan kesamarataan di mana hak dan tanggungjawab, faedah dan bebanan, diagihkan sama rata dalam kalangan komuniti.

Beliau memetik beberapa pandangan sarjana Islam mengenai konsep keadilan sosial ini termasuk Sheikh Muhammad Abu Zuhrah yang merumuskan bahawa keadilan sosial bukanlah bertujuan untuk menghapuskan golongan fakir tetapi ia merupakan wadah bagi mengurangkan bebanannya.

Ini disebabkan, katanya, kefakiran perlu dirawat agar tidak timbul masalah sosial seperti kecurian dan rompakan, maka keadilan sosial menjadi asas dalam merawat ketidaksamarataan sosioekonomi.

Wan Mohamad turut merujuk kepada petikan ayat Al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil".

Persamaan hak manusia

Kertas kerja ini membincangkan persamaan hak sesama manusia menurut kaca mata Islam merangkumi:

a)Hak untuk hidup tiada seorang pun yang diizinkan oleh syarak untuk membunuh seseorang lain melainkan atas alasan syariat, contohnya kuasa hakim di mahkamah, yang menjatuhkan hukuman bunuh balas (qisas) kepada pembunuh dan sebagainya.

b) Hak untuk beragama Islam memberikan kebebasan kepada seluruh manusia untuk memilih agama sebagai panduan serta pegangan hidup masing-masing. Islam tidak pernah memaksa mahu pun memeras ugut manusia dalam menentukan haluan agama mereka.

Dan sebagai indikator kepada pelaksanaan kebebasan ini, Malaysia, yang Islam ialah agama persekutuan, memberikan kebebasan untuk mempraktik aktiviti keagamaan ini kepada semua warganya dan sewajarnya kebebasan yang diamanahkan ini tidak dicabuli oleh semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan kegelisahan.

c) Hak untuk mendapatkan pendidikan setiap individu berpeluang dan diberikan keizinan oleh syariat untuk menggali khazanah ilmu dan seterusnya memiliki kelayakan akademik untuk meningkatkan potensi diri.

Dalam hal ini kertas kerja ini menegaskan bahawa Malaysia menjadi model rujukan negara Islam khususnya dalam memerangi buta huruf dalam kalangan warganya melalui dasar dan strategi seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Misi Nasional dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

d) Kebebasan mencari harta dan rezeki kebebasan yang diberikan bagaimanapun harus berpandu kepada prinsip kemanusiaan dan bukan melalui jalan yang salah seperti menindas, menipu, khianat, rasuah dan sebagainya. Islam mengiktiraf peranan golongan lelaki dan wanita dalam memakmurkan alam termasuk dalam hal mencari rezeki untuk menyara hidup dan keluarga.

Wan Mohamad turut memberikan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkaitan penglibatan ahli profesional bagi tahun 2007 yang menunjukkan penglibatan seimbang gender dalam bidang-bidang tertentu.

Ketua Pengarah Jakim itu berkata politik, kewangan dan perundangan merupakan tiga mekanisme penting dalam memastikan jaminan sosial ini.

Adil seorang manusia

Sebuah kerajaan yang baik, katanya, memerlukan penglibatan aktif masyarakat dalam penggubalan dasar masyarakat meluahkan kehendak dan keperluannya melalui saluran yang betul, manakala kerajaan yang baik akan menerima, menganalisis dan menggubal satu dasar yang sesuai dengan keperluan masyarakat mengikut kapasiti tenaga dan sumber yang ada.

Sementara itu, Dr Syed Ali dalam kertas kerjanya berkata bagi seorang manusia itu untuk hidup mengikut fitrahnya, atau bagi seseorang itu mewujudkan keharmonian dalam keluarganya dan untuk berkhidmat kepada masyarakat, dia perlu adil.

Sebagai contoh, bila seseorang itu adil pada dirinya, beliau akan mengendalikan urusan dirinya dengan bijaksana, serupa juga jika hubungan dalam keluarganya berlandaskan keadilan, maka akan wujud kedamaian dan kebahagiaan.

Sama juga bila sebuah masyarakat ditadbir secara adil dari segi politik, ia akan menyerlahkan kesempurnaannya dan akan berpuashati.

Beliau berkata seorang manusia yang baik, bila dia bercakap, dia berkata yang benar, bila dia diberikan kepercayaan, dia tidak mengkhianati amanah itu, bila dia berjanji, dia akan menunaikannya.

Menurut Ketua Pengarah Ikim itu, perbandingan yang dibuat mengenai seorang manusia yang baik dan hubungannya sebagai individu, keluarga dan masyarakat ini boleh diselarikan dengan ciri-ciri sebuah tadbir urus dan masyarakat yang baik. Penunjuk utama adil dan beramanah

Dr Syed Ali berkata satu daripada penunjuk utama bagi adil dan beramanah ini ialah ilmu, dan penggunaan ilmu itu dizahirkan melalui tindakan.

Tindakan seseorang itu dalam membuat keputusan dan melaksanakannya haruslah berasaskan kepada ilmu yang dia ada, kerana tindakan yang berasaskan salah faham, salah fakta, salah menempatkan dirinya dan kejahilan akan mengakibatkan ketidakadilan, katanya.

Beliau mengaitkan amanah dengan memberi contoh anggota polis yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab memelihara keamanan dan kestabilan melalui cara memastikan peraturan dan undang-undang dipatuhi, tetapi jika dia sendiri melanggarnya, maka berlaku perbuatan tidak amanah dan tidak berlaku adil. Perkara ini dikaitkan pula oleh Dr Mesut Idriz dalam kertas kerjanya yang menekankan bahawa, prinsip pertama tadbir urus yang baik sesebuah pertubuhan atau negara dalam syariah, ialah pemilihan individu yang sesuai untuk sesuatu pekerjaan itu.

Dalam erti kata lain merit merupakan satu-satunya kriteria dalam pemilihan tenaga manusia di dalam sesebuah organisasi atau negara. Bangsa, warna kulit atau kepercayaan tidak harus dibiarkan mempengaruhi keputusan.

Beliau menarik perhatian bahawa Nabi Muhammad s.a.w turut mengambil orang bukan Islam dalam perkhidmatan diplomatiknya berasaskan kepada kecekapan mereka.

Sejarah empayar Uthmaniyyah Dr Mesut memberikan satu contoh.

Pembebasan Balkan oleh kerajaan atau empayar (Turki) Uthmaniyyah dalam kurun ke-14. Agama Islam sampai ke Balkan lebih awal daripada itu tetapi Balkan tidak ditadbir oleh orang Islam sehinggalah era ini.

Untuk memerintah komuniti pelbagai kaum dan agama di Balkan, Sultan-sultan Uthmaniyyah ketika itu dinasihatkan oleh pihak berkuasa agama peringkat tertinggi Shaykh al-Islamas serta sekumpulan kecil ulama mengenai aspek tabdir urus yang baik bagi wilayah-wilayah itu dan rakyatnya.

Dengan kelayakan tinggi mereka dalam memahami falsafah syariah (atau hikmahnya) dan dalam disiplin yang lain, para cendekiawan Islam ini menyediakan pelbagai buku kepada pemerintah sebagai panduan dan bimbingan untuk memastikan amalan tadbir urus yang baik diperturunkan kepada pelbagai peringkat bawahannya.

Dengan kaedah tadbir urus yang baik itu, pemimpin Uthmaniyyah berjaya mengamalkannya bukan sahaja di Balkan tetapi juga di seluruh kawasan empayar itu selama berkurun lamanya.

Pelbagai hasil kerja dan bahan arkib Uthmaniyyah, menjadi bukti kepada semua ini di mana penduduk negara Balkan yang terdiri daripada lebih 15 komuniti etnik dan kumpulan agama berbeza, menikmati kesan tadbir urus yang baik pemerintah Uthmaniyyah sekurang-kurangnya selama tiga kurun (kurun ke-14 hingga 16) dalam keadaan aman, stabil, bebas beragama dan ekonomi yang makmur. Tadbir urus terbaik

Mohamed Musaddik pula dalam kertas kerjanya merujuk kepada Persidangan Tadbir Urus Dunia 1999 yang mendefinisikan tadbir urus yang baik sebagai satu sistem pentadbiran yang telus, bertanggung jawab, adil, demokratik dan responsif kepada kehendak rakyat.

Dan tadbir urus yang berkesan pula ialah apabila penggunaan kuasa dalam semua peringkat pengurusan dilakukan dengan cekap, adil, jujur, telus, saksama, demokrasi dan bertindak balas terhadap keperluan dan kesejahteraan masyarakat khususnya dalam pemberian perkhidmatan kerajaan.

Tadbir urus perkhidmatan awam yang terbaik pula, bagi beliau, ialah melalui prestasi yang cekap dan berkesan seperti yang diharapkan pemegang kepentingan dan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain