suria

Idealisme "Mengangkasa Pengajian Tinggi"

"MENGANGKASA Pengajian Tinggi" adalah buku ke-15 dihasilkan oleh Datuk Dr Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia(UTM).

Beliau mengambil masa kira-kira enam minggu untuk menyiapkan buku setebal 271 halaman ini yang antaranya memuatkan juga hasil penulisan beliau yang telah disiarkan dalam akhbar tempatan dan dibentangkan pada seminar.

Penulisan buku tersebut, bagi Dr Zaini adalah usaha beliau dalam memanifestasikan tradisi ilmu yang sangat menekankan kepada budaya cetak.

"Memang budaya lisan penting khususnya dalam menyampaikan syarahan atau menjelaskan sesuatu konsep ilmu atau isu. Namun, kepentingan budaya cetak lebih mengakar dalam akademia dan dunia keilmuan sejak ribuan tahun yang lepas.

"Pada hemat saya, suasana dan amalan ini semakin tidak menyerlah ketika ini, biarpun pelbagai dasar dan inisiatif dilancarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini", demikian antara intipati ucapan beliau pada majlis pelancaran "Mengangkasa Pengajian Tinggi" oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya baru-baru ini.

Pendekatan yang digunakan

Istilah "Mengangkasa" dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam ucapan dasar berjudul "Mengangkasa Tamadun Bangsa" pada perhimpunan siasah 6 Nov 2007. Bagi Dr Zaini, "mengangkasa" bermakna meletakkan kepada kedudukan yang tinggi nun jauh terbang di angkasa sebagaimana angkasawan menerobos ruang atmosfera.

Istilah juga mencerminkan keperluan pengajian tinggi diangkat ke martabat tinggi. Mengangkasa juga bermakna mencapai tahap paling cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sebagai pemikir dan aktivis intelektual, Dr Zaini ada kalanya mengambil pendekatan idealistik dalam meluahkan pandangannya mengenai pengajian tinggi terutamanya ketika beliau belum terbabit secara langsung dalam pengurusan universiti.

Bagaimanapun, dalam mempersoal isu-isu semasa seperti penarafan, pengantarabangsaan dan petunjuk prestasi, beliau memberi pandangan yang lebih praktikal dan realistik.

Menteri Pengajian Tinggi dalam kata pengantarnya sendiri menyifatkan Dr Zaini sebagai tokoh akademik muda yang perlu diteladani kerana menyebar ilmu dan pengalaman dengan lontaran gagasan, cadangan, kritikan, cetusan idea dan pandangan yang bernas dan berani.

Beliau juga tertarik dengan keberanian Dr Zaini menyepadukan penulisan beliau dengan mengetengahkan gagasan dan tradisi universiti daripada perspektif Islam dan universiti Barat moden.

Mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, "Mengangkasa Pengajian tinggi" adalah sumbangan besar Dr Zaini kepada pemikiran dan penjenamaan pengajian tinggi negara.

"Buku Mengangkasa Pengajian Tinggi memberi perspektif yang wajar terhadap perkembangan pengajian tinggi negara, inisiatif yang telah dilakukan pihak kerajaan dan perkembangan dalaman di kalangan komuniti akademik.

"Zaini memang kritis dalam soal komitmen dan idealisme di kalangan ahli akademik. Bagi beliau, komitmen adalah syarat untuk mengangkasa pengajian tinggi, sementara idealisme adalah panduan untuk melayari samudera ilmu", kata Mustapa yang kini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam kata pengantar buku berkenaan.

Antara kandungan

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Gagasan dan Tradisi Universiti, Visi dan Falsafah, Penanda Aras dan Penarafan, Penyelidikan dan Pembangunan dan Perspektif.

Kandungan buku ini antaranya memaparkan sejarah pengajian tinggi di Malaysia bermula sejak sebelum merdeka lagi dengan penubuhan pelbagai institusi pendidikan seperti sekolah pondok, sekolah moden, kolej dan maktab.

Sebahagian kolej kemudiannya dinaik taraf menjadi universiti seperti Universiti Malaya pada 1949 (bermula dengan Straits and Federated Malay States Government Medical School pada 1905 dan bertukar nama kepada King Edward VII College of Medicine di Singapura pada 1912) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung (bermula dengan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim pada 1922).

Menurut Dr Zaini, ada juga sekolah yang dinaik taraf menjadi kolej kemudian universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di mana ia bermula sebagai sekolah teknik pada 1904, menjadi kolej teknik pada 1942, Institut Teknoloji Kebangsaan pada 1972 dan akhirnya UTM pada 1975.

Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula sebagai sekolah pertanian pada 1931, Kolej Pertanian Malaya pada 1947 dan dinaik taraf menjadi universiti pada 1971.

Dr Zaini menyifatkan perkembangan tersebut satu proses pemantapan pendidikan nasional di peringkat pengajian tinggi yang sentiasa mengalami peningkatan dari segi entiti, peranan dan fokus.

Pada pandangan beliau, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara ini berkembang pesat lebih sedekad lepas iaitu selepas reformasi pengajian tinggi semasa Najib menjadi Menteri Pendidikan dengan pelbagai pembaharuan dari segi dasar dan inisiatif. Perkembangan pesat yang berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan itu disifatkan Dr Zaini mengatasi keseluruhan yang berlaku dalam tempoh 40 tahun sebelumnya, khususnya dari segi bilangan IPT, peningkatan jumlah pelajar serta kursus baru dan penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Beliau turut mengutarakan pandangan bahawa kemajuan ilmu yang sebenar bagaimanapun tidak sahaja bergantung kepada aspek pencapaian bersifat persijilan.

Lebih penting bagi penulis ialah antaranya kemajuan ilmu yang tersurat menerusi aspek kualitatif dalam keperibadian ahli ilmu yang tercerna menerusi kualiti jiwa, kemantapan minda, kesegaran aspirasi, kelancaran berwacana sama ada secara lisan atau tulisan dan cara hidup lestari.

Dr Zaini turut membicarakan bahawa dimensi kualiti pengajian tinggi perlu dilihat secara komprehensif serta holistik dan nilai ilmu perlu ditempatkan di kedudukan jauh lebih tinggi berbanding status sosial, hedonisme, pangkat dan fahaman yang bersendikan materialisme.

Beliau turut meletakkan takrifnya mengenai graduan yang ideal, yang baginya adalah mereka yang memiliki kemahiran berfikir, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, berwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu.

Persoalan menarik Terdapat satu isu menarik yang dibangkitkan oleh Dr Zaini yang mungkin sudah didebatkan sebelum ini iaitu wajarkah pelajar cemerlang ke luar negara? Persoalan ini terkandung dalam Bahagian III: Penanda Aras dan Penarafan.

Menurut beliau, ada baiknya juga, setelah hampir lima dekad hal ini berlanjutan, ditonjolkan soalan, "Apakah dasar menghantar pelajar cemerlang ke IPT luar negara di peringkat ijazah pertama itu membantu negara menapak lebih maju ke hadapan?"

Dr Zaini berhemat hampir semua bidang pengajian yang diperlukan dalam pasaran kerja ketika ini telah dan akan ditawarkan di peringkat ijazah pertama di IPTA dan IPTS tempatan.

Pelajar cemerlang, pada pandangan beliau adalah "bahan mentah" terbaik untuk menghasilkan "produk" yang berkualiti bagi sesebuah IPT.

Beliau lalu memetik kata seorang pensyarah tersohor dari Harvard apabila ditanya mengenai rahsia universiti tersebut berjaya memartabatkan reputasinya sebagai satu daripada IPT terbaik di dunia "Calon pelajar Harvard adalah dalam kalangan pelajar yang cemerlang. Jika tidak mengikuti kuliah pun mereka boleh lulus dengan cemerlang di Harvard!"

Dr Zaini percaya kehadiran pelajar cemerlang di IPT tempatan dapat memberi dinamisme baru ke arah meninggikan lagi daya saing IPT Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai pusat perkembangan ilmu dalam bidang keutamaan.

Jadi bahan bacaan

Dalam menyifatkan bukunya sebagai sederhana, Dr Zaini berharap "Mengangkasa Pengajian Tinggi" dapat dijadikan bahan untuk wacana sekurang-kurangnya bagi memeriahkan lagi suasana akademik di kalangan cendekiawan dan pelajar, khususnya di universiti tempatan.

Buku yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia dijual dalam dua bentuk, kulit keras berharga RM55 dan kulit lembut RM40.

Ia sesuai dibaca kalangan pembuat dasar, pihak pengurusan universiti, pentadbir, penyelidik, ahli akademik dan intelektual, pencinta ilmu, pelajar dan calon sarjana.

Bahkan buku ini sesuai juga dibaca oleh penyelidik di pusat penyelidikan, syarikat dan sesiapa sahaja yang berminat dalam menyusur isu intelektual dan persoalan Pengajian Tinggi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain