suria

Banjir: Usim Hantar Sukarelawan Ke Gua Musang

NILAI: Sebanyak 60 sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada pasukan khas 'SMART Team' bertolak ke Gua Musang, Kelantan, Jumaat malam bagi misi bantuan pasca banjir.

Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman berkata kumpulan fasa pertama itu akan berada di negeri itu sehingga esok, manakala kumpulan kedua akan berada di sana pada Selasa hingga Jumaat minggu depan.

"Turut menyertai kumpulan itu ialah pengurusan universiti iaitu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datuk Dr Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar, Muhammad Haizuan Rozali," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata operasi pasca banjir itu akan ditumpukan kepada agihan bekalan makanan dan keperluan harian serta membantu membersihkan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dewan dan kediaman penduduk.

Mohd Zaini berkata sebanyak lima tan barangan keperluan asas seperti beras, air bersih, lampin pakai buang, susu bayi, biskut dan ubat-ubatan hasil daripada sumbangan orang ramai di bilik gerakan universiti itu akan dibawa ke sana.

"Turut menyertai pasukan ini ialah sebuah ambulans USIM yang membawa pegawai perubatan yang akan menjalankan pemeriksaan kesihatan di sana nanti," katanya.


Banjir, Kelantan, Usim

Artikel Sebelum

USIM Dianugerah Status Autonomi

Artikel Lain