suria

Pelajar Dari Muar Menangi Anugerah Utama Universiti Australia

ADELAIDE: Tiga pelajar wanita, kesemuanya dari University of Adelaide, memenangi tiga daripada empat hadiah yang ditawarkan kepada pelajar terbaik Malaysia yang belajar di universiti di Australia Selatan(SA).

Mereka ialah Faustina Niap Chai Foong dari Muar, Johor, Leong Su Ling dari Klang, Selangor dan Musfirah Syahira Musa dari Kapar, Selangor.

Hadiah keempat dimenangi pelajar University of South Australia Danial Fahmi Mohd Zamberi dari Puchong, Selangor.

Setiap tahun Majlis Perniagaan Australia-Malaysia, Cawangan SA, memberikan anugerah kepada tiga pelajar terbaik Malaysia di sini tetapi pada tahun ini tempat kedua dikongsi oleh Su Ling dan Musfirah Syahira.

Tahun lepas, ketiga-tiga anugerah dimenangi tiga pelajar wanita.

Niap, yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda Sains (pra-veterinar), muncul pelajar paling cemerlang tahun ini dengan memenangi Trofi Sir Eric Neal, sebuah iPad dan A$1,500 (A$1 = RM3.23).

Musfirah Syahira, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Kejuruteraan (Petroleum) dan Su Ling, pelajar Sarjana Muda Kesusasteraan, masing-masing menerima trofi dan A$1,000 manakala Danial Fahmi, pelajar Sarjana Muda Kewangan Gunaan, menerima trofi dan A$750.

Anugerah disampaikan oleh Sir Eric Neal, bekas Gabenor Australia Selatan dan penanung AMBC, Cawangan SA pada majlis makan malam di sini pada Sabtu.

Majlis dihadiri kira-kira 280 tetamu termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Salman Ahmad, ketua kerajaan Australia Selatan, Jay Weatherill, Datuk Bandar Adelaide, Stephen Yarwood, Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Melbourne Choong Kai Wai, pemimpin perniagaan dan profesional serta pelajar Malaysia.

Presiden AMBC SA Sathish Dasan berkata pemberian anugerah itu bertujuan 'mengenal pasti, membimbing dan memupuk duta perniagaan generasi akan datang" tanpa mengira mereka tinggal di Australia atau kembali ke Malaysia.

"Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam menggalakkan kepimpinan dan kecemerlangan, kami akan melabur dalam kemakmuran ekonomi di Australia Selatan dan juga Malaysia," kata Sathish, yang merupakan seorang peguam di Adelaide. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain