suria

USM Rancang Perkukuhkan Hubungan Dengan IPT Arab Saudi

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) merancang untuk memperkukuhkan hubungannya dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Arab Saudi bagi berkongsi bidang pengajian.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman yang kini berada di Arab Saudi untuk memantapkan kerjasama dengan IPT di sana berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil IPT di negara itu dan mereka menunjukkan minat untuk bekerjasama.

"Pengalaman USM menawarkan program ijazah Doktor Perubatan bersama sebuah pertubuhan di India telah menunjukkan kejayaan yang sangat bermakna dan ia boleh dikembangkan dengan pihak yang berminat di Arab Saudi," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan dengan Naib Pengerusi Lembaga Amanah Sulaiman Alrajhi Colleges, Dr Abdulrahman Sulaiman Al Rajhi mengenai usaha sama penawaran program Sains Perubatan dan Kesihatan.

"Mereka berminat dengan cadangan yang dibuat dan akan meneliti beberapa pilihan dan mekanisme yang ada untuk faedah kedua-dua pihak," katanya. Omar berkata dalam lawatan itu beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kajian Pendidikan Tinggi (CHERS) Kementerian Pengajian Tinggi Arab Saudi Dr Abdulhalem A. Mazi, untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pengajian tinggi di kedua-dua negara, khususnya USM.

Beliau berkata USM juga bersedia menerima kemasukan anak-anak rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti berkenaan.

"Kita juga akan membantu kedutaan dan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sana menyediakan ruang khas bagi memberikan maklumat pengajian tinggi Malaysia terutama berkaitan USM kepada bukan sahaja lebih 2,000 orang rakyat Malaysia di Jeddah tetapi juga untuk masyarakat tempatan di sana," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain