suria

M'sia & 2 Institusi Pengajian Tinggi UK Tandatangani MoU

PUTRAJAYA: Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua institusi Britain bagi membantu membangunkan pengajian perubatan negara yang bertaraf dunia.

Majlis Mou dengan Kolej Pakar Perubatan Diraja (RCP) London dan Universiti Newcastle-upon-Thye itu disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kumpulan pertama seramai 30 orang doktor kanan dan pakar perubatan akan memulakan latihan mereka di kedua-dua institusi itu mulai Mac ini, bagi melahirkan pengajar perubatan yang cemerlang.

"Kursus ini adalah penting kerana mereka perlu memberi panduan kepada graduan perubatan yang bekerja dengan kementerian untuk menjalani latihan.

"Kita akan latih ramai lagi di masa depan. Kita mahu orang ramai tahu yang kita sangat prihatin untuk terus meningkatkan perkhidmatan kementerian yang berkualiti," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu.

Universiti Newcastle diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Naib Canselor, Prof Reginald Keniston Jordan, RCP oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Martin Else sementara Kementerian Kesihatan diwakili oleh Ketua Setiausahanya Datuk Kamarul Zaman Md Isa.

Liow berkata MoU itu akan membolehkan kedua-dua negara bekerjasama lebih erat bagi mencapai hasrat bersama untuk memastikan Malaysia memiliki pakar perubatan yang berkualiti untuk berkhidmat kepada masyarakat, selain untuk Malaysia dikenali sebagai pusat kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Kerjasama itu akan turut membangunkan program akademik peringkat sijil, diploma dan sarjana bagi pemimpin pengajian perubatan negara masa sekarang dan akan datang serta untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain