suria

Isu Kakitangan Akademik UM: NC Akan Bertemu PKAUM

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Tan Sri Dr Ghauth Jasmon akan bertemu anggota Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) minggu depan untuk menyelesaikan isu mengenai dakwaan ramai staf akademik yang meletak jawatan sejak tahun 2009.

Beliau berkata, dakwaan PKAUM bahawa UM lebih mementingkan warga asing dalam pelantikan jawatan dalam UM yang dilaporkan dalam media baru-baru ini adalah tidak benar kerana ia dibuat mengikut garis panduan Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara.

"Semua warga asing dilantik secara kontrak antara tiga dan lima tahun dan penyambungan kontrak adalah berdasarkan kepada cadangan dekan, malah majoriti kakitangan UM sekarang adalah warga tempatan," katanya dalam sidang media di UM di sini, Jumaat.

Pada Rabu lepas, PKAUM dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berkata, Dr Ghauth telah memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data indeks jurnal (ISI) dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu.

PKAUM juga mendakwa, Dr Ghauth hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal antarabangsa tanpa mengira kualiti penyelidikan dan mutu jurnal semata-mata untuk mengejar ranking.

Dr Ghauth dalam sidang media itu menjelaskan bahawa UM telah melantik seramai 463 kakitangan baru secara kontrak dan tetap dari tahun 2009 hingga 2011 berbanding 123 kakitangan yang meletak jawatan bagi tempoh yang sama.

Daripada jumlah 123 kakitangan yang meletak jawatan itu, katanya, 43 telah mencapai tempoh persaraan, empat orang telah meninggal dunia dan 76 kakitangan meletak jawatan atas sebab menerima tawaran gaji yang lebih baik di tempat lain.

Sehubungan itu, Dr Ghauth menegaskan bahawa UM tidak menghadapi sebarang krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar akibat peletakan jawatan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti kerana jumlah pelantikan kakitangan baru melebihi jumlah yang meletak jawatan pada tempoh yang sama.

Beliau juga menafikan bahawa peletakan jawatan kakitangan UM itu adalah berpunca akibat tidak berpuas hati dengan kepimpinannya yang memperkenalkan dasar-dasar baru yang menyusahkan mereka.

"UM perlu melakukan pelbagai penyelidikan dan ISI bagi memperbaiki kedudukan UM di peringkat antarabangsa kerana UM sekarang ketinggalan di belakang National University of Singapore dan beberapa universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, pelan transformasi baru yang diperkenalkan adalah untuk kebaikan UM sendiri bagi mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah dikenali sebagai sebuah institusi yang tersohor di Malaysia.

Ditanya adakah pelan transformasi baru yang diperkenalkannya itu tidak diketahui dan dilaksanakan oleh semua kakitangan UM, beliau percaya mereka mengetahuinya kerana ia terdapat dalam laman web UM.

Selain itu, katanya beliau juga telah mengarahkan semua dekan untuk menjelaskan mengenai pelan transformasi baru itu bagi menaikkan nama UM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dr Ghauth berkata, beliau sepatutnya bermesyuarat dengan PKAUM semalam bagaimanapun dipanggil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memberi penjelasan setelah laporan mengenai UM itu disiarkan dalam akhbar.

"Saya tiada masalah dengan PKAUM, kita mengadakan mesyuarat bersama setiap tiga bulan sepanjang tahun dan dalam setiap mesyuarat, pelbagai isu membabitkan kebajikan kakitangan UM dibangkitkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain