suria

USM Pilih Profesor Sebagai Ahli Senat Melalui Pengundian

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) pada Khamis mengadakan pengundian untuk memilih 41 ahli Senat dari kalangan profesor -- kaedah yang pertama seumpama itu di laksanakan di universiti negara ini.

Naib Canselor USM Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata sebelum ini pemilihan ahli Senat dibuat melalui pelantikan.

"Mengikut sistem yang lama kita mempunyai 41 ahli Senat yang terdiri daripada ketua jabatan yang dilantik secara automatik manakala 20 lagi ahli Senat yang terdiri daripada profesor yang dilantik oleh naib canselor," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata melalui kaedah baru ini, pemilihan 41 ahli Senat daripada kalangan profesor itu bagi mengimbangi jumlah ahli Senat yang terdiri daripada ketua jabatan.

Dzulkifli berkata dengan pemilihan itu, jumlah ahli Senat USM ialah 87 orang dengan 41 orang terdiri daripada ketua jabatan, profesor (41), naib canselor (seorang) dan timbalan naib canselor (empat).

Beliau berkata jumlah calon yang layak bertanding hari ini ialah 195 orang manakala pemilih yang terdiri daripada profesor, profesor madya sepenuh masa dan profesor kunjungan USM ialah 576 orang.

Dzulkifli berkata pemilihan profesor sebagai ahli Senat mengikut kaedah ini selaras dengan Seksyen 24 (1) (Perlembagaan USM).

"Perlembagaan USM berbeza dengan universiti lain kerana sebagai universiti Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan), kami mempunyai sedikit kelonggaran," katanya.

Beliau berkata USM juga bercadang memasukkan wakil pelajar sebagai ahli Senat pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain