suria

UUM Buat Logo 1Malaysia Terbesar Dengan Syiling 10 Sen

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini mencatat nama dalam Malaysia Book of Records apabila penuntut-penuntutnya berjaya menghasilkan logo 1Malaysia terbesar yang menggunakan duit syiling 10 sen.

Projek menghasilkan logo berkenaan yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Penerangan itu dimulakan pada Jumaat dan berakhir petang ini.

Logo yang dibina di padang kawad Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM di sini sepanjang 25 meter dan lebar 13 meter itu dihasilkan oleh 1,920 penuntut pelbagai kaum, hasil perancangan Persatuan Mahasiswa Ekonomi (Ecosa) Kolej Sastera dan Sains UUM.

Presiden Ecosa Mohd Hafiza Ahmad berkata idea untuk menghasilkan logo itu terhasil daripada perbincangan yang dibuat oleh kembarnya, Mohd Hafizi Ahmad yang merupakan Pengarah Projek Festival Mesra Ekonomi dan Malaysia Book Of Records.

"Perbincangan ini dibuat kerana kami mahu mencari dana untuk persatuan ekonomi bagi menjayakan projek-projek akan datang. Pada asalnya kami hendak hasilkan logo yang mempunyai panjang 50 meter dan lebar 20 meter tetapi memandangkan kosnya terlalu tinggi, jadi kami cuba hasilkan seperti apa yang terhasil hari ini," katanya kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records di sini hari ini.

Mohd Hafiza berkata kos yang diperlukan untuk menghasilkan logo itu ialah kira-kira RM20,000 dan mereka telah mengumpulkan 670,000 keping duit syiling 10 sen bagi tujuan itu.

"Daripada jumlah itu, kami telah menggunakan 622,185 keping syiling 10 sen dan nilainya ialah RM62,218.50," katanya.

Beliau berkata duit itu telah disumbangkan oleh penuntut UUM, kakitangan UUM, orang perseorangan dan tajaan luar.

"Kami juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Penerangan bagi menjayakan program ini," katanya.

Kembarnya, Mohd Hafizi berkata mereka akan meleraikan semua duit syiling itu dan menyumbang kepada badan-badan kebajikan selain menyimpannya dalam tabung persatuan untuk digunakan bagi projek-projek akan datang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum yang menyempurnakan program itu berkata program seperti itu dapat mengumpul penuntut berbilang kaum dan budaya bekerjasama bagi menghasilkan logo itu.

"Pelajar-pelajar jangan mudah terikut-ikut dengan pengaruh yang ada lebih-lebih lagi media baru seperti 'Facebook' kerana ia akan memudaratkan negara jika disalahguna," katanya.

Beliau berkata penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah dan mengeluarkan perkara yang direka-reka bagi mengelakkan berlakunya perpecahan kaum.

"Jadi mereka perlu faham dan tahu konsep gagasan 1Malaysia supaya perkara-perkara yang mengancam keamanan negara tidak berlaku," katanya.

Terdahulu, beliau meletakkan syiling terakhir pada logo 1Malaysia itu menandakan sempurnanya bentuk logo itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad dan Naib Canselor UUM Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records telah disampaikan oleh Salang kepada Mohd Hafizi. - BERNAMA

Artikel Lain