suria

Graduan Cemerlang UniMAP Terima Anugerah Di KLIA

KANGAR: Graduan cemerlang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohd Abdul Hafiz Zakaria yang tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen kelima universiti itu Sabtu lepas kerana kematian ibunya, menerima Anugerah Emas Diraja pada majlis ringkas yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Isnin.

Menurut kenyataan UniMAP, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP menyampaikan anugerah yang sepatutnya diterima pada hari konvokesyen itu di Bilik Mawar KLIA dengan disaksikan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor universiti itu.

Majlis itu diadakan di KLIA sebelum Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis menaiki penerbangan ke Pulau Pinang selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Mohd Abdul Hafiz, 25, yang merupakan graduan sarjana muda kejuteraan alam sekitar tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen kelima UniMAP pada Sabtu lepas berikutan kematian ibunya, Joanah Bahari, 61, pada pukul 10.40 malam Jumaat lepas.

Ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir, pelajar cemerlang itu sedang menghadiri majlis santapan Canselor sempena konvokesyen itu dan sebaik mendapat berita itu, beliau bergegas pulang ke kampungnya di Sungai Rambai, Melaka dan terpaksa melupakan hari bersejarah untuknya sebagai penerima anugerah emas itu.

Bagaimanapun hari ini, Mohd Abdul Hafiz yang kematian bapanya sejak beliau berusia dua tahun, menikmati saat bersejarah apabila majlis khas untuknya diadakan di KLIA dengan turut dihadiri oleh Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu menerima pingat emas, sijil penghargaan daripada Majlis Raja-Raja, pingat kecemerlangan dan wang RM5,000 yang disampaikan Raja Muda Perlis yang prihatin terhadap apa yang sedang dilalui graduan itu.

Beliau turut menerima wang khairat kematian sebanyak RM1,000 daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP yang disampaikan oleh Raja Puan Muda Perlis pada majlis yang sama.

"Saya tidak tahu untuk menggambarkan perasaan saya pada hari ini... terharu, gembira, sayu semuanya bercampur baur menjadi satu, tetapi apapun saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan kejutan ini," kata Mohd Abdul Hafiz selepas majlis itu.

Katanya, beliau tidak menyangka baginda yang disifatkannya sebagai raja berjiwa rakyat berkenan untuk menganjurkan majlis khas bagi menyampaikan sendiri pingat dan ijazah yang sepatutnya diterima di pentas Konvokesyen UniMAP, Sabtu lalu.

"Sewaktu menerima panggilan telefon daripada Datuk Kamarudin (Naib Canselor) saya hanya terfikir mungkin beliau ingin memaklumkan bahawa saya perlu hadir mengambil pingat dan ijazah di Perlis.

"Tetapi sebaik sahaja dimaklumkan bahawa Tuanku Canselor berkenan untuk menyerahkan sendiri pingat tersebut dalam satu majlis khas di Kuala Lumpur, saya tidak mampu menahan air mata kegembiraan," katanya.

Mohd Abd Hafiz yang menerima Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan) Kejuruteraan Alam Sekitar dengan kepujian merupakan antara dua penerima anugerah tertinggi itu.

Seorang lagi penerima ialah Tan Chen Yau, 24 yang juga graduan Kejuruteraan Alam Sekitar yang menerima anugerah itu serta ijazah pada Sabtu lepas.

Walaupun hari ini adalah hari istimewa dalam hidupnya namun beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian di peringkat sarjana kejuruteraan tetap merasa sedih kerana saat bersejarah menerima ijazah dan anugerah itu tidak dapat dikongsi bersama ibunya yang merupakan pendorong kejayaannya. - BERNAMA

Artikel Lain