suria

Airbus Anjur Pertandingan Masa Depan Industri Penerbangan Untuk Pelajar IPT

PETALING JAYA: Satu pertandingan mempelawa para penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam membentuk masa depan industri penerbangan bakal diadakan pada September depan.

Pertandingan yang bakal disertai oleh semua penuntut universiti seluruh dunia itu diadakan bagi membentuk idea-idea baru dalam membawa industri penerbangan lebih bersifat mesra alam.

Pertandingan Fly Your Ideas (FYI) yang bakal dianjurkan oleh syarikat pengeluar pesawat, Airbus diharap dapat merangsang idea baru selain para penuntut dan penyelidik dapat mengenal pasti peluang untuk mengimbangkan permintaan yang meningkat bagi perjalanan udara dengan lebih menjamin alam sekitar.

Menurut kenyataan Airbus di Pertunjukkan Udara Antarabangsa Farnborough di United Kingdom pada Rabu, pertandingan yang diadakan dua tahun sekali itu akan diadili oleh panel daripada Airbus selain pakar industri penerbangan.

Pertandingan yang akan melibatkan tiga pusingan itu memerlukan para peserta untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak penganjur sebelum diadili untuk ke peringkat seterusnya.

Penuntut yang ingin menghantar kertas cadangan mengenai Kitaran Alam Sekitar turut dijemput untuk menyertai pertandingan itu.

Setiap kumpulan boleh diwakili seramai tiga hingga lima peserta termasuk seorang pengelola akademik bagi memantau perjalanan projek mereka.

"Pusingan akhir pertandingan itu akan diadakan di Pertunjukkan Udara Antarabangsa Paris pada musim panas akan datang di Le Bourget, Perancis.

"Hadiah lumayan juga turut menanti peserta di mana di tempat pertama peserta bakal membawa pulang hadiah bernilai Euro 30,000 (RM125,000) manakala naib johan akan menerima Euro 15,000 (RM63,000)," kata kenyataan itu.

Sejumlah 2,350 peserta daripada 80 buah negara menyertai pertandingan itu dan menyaksikan pasukan multi-nasional COz daripada Universiti of Queensland muncul sebagai juara.

Kepada penuntut yang berminat untuk menyertai dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai FYI, layari www.airbus-fyi.com.

Artikel Lain