suria

Edisi Ke-4 Kejohanan Memanah Terbuka UPM Tarik Penyertaan Terbesar

KUALA LUMPUR: Seramai 226 pemanah mengambil bahagian pada edisi keempat Kejohanan Memanah Terbuka Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membuka gelanggangnya di Lapang Sasar Memanah Stadium Pusat Sukan UPM hari ini.

"Jumlah ini adalah yang terbesar pernah kita terima sepanjang menganjurkan kejohanan ini sejak tiga tahun lepas. Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, kita hanya dapat 156 pemanah mengambil bahagian," kata ketua teknikal kejohanan, Faiz Mokhtar Lopi kepada Bernama.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 20 pemanah terdiri daripada pemanah skuad pelapis negara khususnya untuk acara recurve (lelaki dan wanita) serta tiga pemanah compound negara iaitu Kaharudin Asah, Azizul Azri dan Saritha Cham Nong.

Turut mengambil bahagian ialah 14 pemanah UPM, yang terdiri daripada tujuh pemanah lelaki dan tujuh pemanah wanita.

"Kebanyakan peserta yang mewakili negeri mengambil bahagian kali ini menggunakan kesempatan kejohanan Memanah Terbuka UPM ini sebagai sebahagian daripada persiapan mereka bagi menghadapi Sukma (Sukan Malaysia) di Melaka, bulan depan.

"Program ini merupakan satu aktiviti yang dapat mewujudkan semangat kesukanan dan persaingan yang positif di kalangan peserta. Kejohanan ini juga menjadi medan untuk melahirkan pelajar UPM yang hebat dalam akademik dan aktiviti kokurikulum," kata Faiz, yang juga jurulatih memanah UPM.

Kejohanan tiga hari itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu recurve dan compound terbuka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain