suria

Politeknik Ditambah Tampung Permohonan Lebih 100,000 Pelajar

KOTA BAHARU: Kementerian Pengajian Tinggi akan membina lebih banyak lagi politeknik di seluruh negara bagi menampung pelajar yang semakin ramai memohon untuk melanjutkan pelajaran di institusi itu setiap tahun.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata sebanyak 27 politeknik yang ditubuhkan di seluruh negara sejak 40 tahun lepas kini hanya mampu menampung pengambilan 42,000 pelajar setiap tahun.

"Jumlah ini gagal menampung 142,000 lagi permohonan pelajar setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak sempena penubuhan Politeknik Kota Baharu (PKB), Kok Lanas, di sini hari ini.

Beliau berkata sambutan permohonan pelajar yang meningkat itu menunjukkan kesedaran ibu bapa bahawa politeknik bukan lagi menjadi pilihan kedua selepas universiti tetapi sebagai pusat kemahiran teknologi bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran.

Menurutnya sejak 27 politeknik ditubuhkan di negara ini, negara mampu melahirkan seramai 305,900 graduan berkemahiran di seluruh negara yang berkhidmat dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak tujuh lagi politeknik sedang dalam pembinaan yang mampu mengambil 16,800 lagi pelajar, namun jumlah ini tidak cukup untuk menampung 142,000 permohonan setiap tahun.

Saifuddin berkata berdasarkan jumlah graduan yang besar itu beliau yakin politeknik berupaya menjadi penyumbang terbesar modal insan untuk ekonomi berpendapatan tinggi dan mampu menampung pasaran pekerjaan negara yang begitu tinggi.

Menurutnya ini selaras dengan usaha kerajaan melonjakkan reputasi dan imej politeknik antara institusi pengajian tinggi yang terbaik di negara ini menerusi pelan tranformasinya seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 25 Februari lepas.

"Melalui penambahbaikan kursus-kursus di peringkat sijil dan diploma yang begitu responsif kepada keperluan pasaran, saya yakin bahawa graduan politeknik akan menjadi tawaran begitu tinggi dalam ekonomi sekarang," katanya.

Menurut beliau matlamat itu akan dapat dicapai apabila politeknik dinaikkan taraf sebagai politeknik premier, yang kini mempunyai tiga kampus iaitu Politeknik Ungku Umar di Ipoh, Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan Politeknik Johor Baharu. - BERNAMA

Artikel Lain