suria

Kembara UTHM Ke Gunung Berembun Jalin Semangat Kerjasama

Air terjun di Gunung Berembun yang cukup memukau pemandangan sesiapa sahaja
Air terjun di Gunung Berembun yang cukup memukau pemandangan sesiapa sahaja
Air terjun di Gunung Berembun yang cukup memukau pemandangan sesiapa sahaja

PENGEMBARAAN ke Gunung Berembun membawa pengalaman menakjubkan buat mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia kembara.

Mana tidaknya, diri terpegun apabila melihat betapa indahnya air terjun, landskap sungai yang teratur rapi, kawasan pokok bonsai yang tumbuh liar, kepelbagaian hidupan dan tumbuh-tumbuhan serta laluan yang mencabar, semuanya membuatkan pengembaraan kami bertambah manis.

Terletak di Dungun, Terengganu, Gunung Berembun yang mempunyai ketinggian 2077 meter (6,817 kaki), terkenal dengan pemandangan air terjun yang memukau pandangan sesiapa. Gunung ini amat sesuai untuk pencinta alam yang ghairah melihat keindahan alam.

Menariknya, terdapat tujuh kolam di Puncak Lansir dipercayai mengikut cerita mitos dimiliki oleh Puteri Ulik Mayang pada zaman dahulu kala. Atas dasar tersebut, kawasan ini menjadi pilihan untuk ahli Kelab Kembara Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) mengadakan satu program reakrasi yang disertai lebih 40 orang.

Pendakian ke Gunung Berembun bukan mudah kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat untuk mengharungi kesukaran untuk sampai ke destinasi.

Namun berkat kesungguhan dan sokongan daripada semua peserta, kami berjaya mengharungi pengembaraan ini dan ternyata pengalaman selama dua hari cukup memberi makna kepada kami dalam membuka minda terhadap kekuasaan pencipta-Nya.

Meniti perjalanan ke Hutan Lipur Chemerung, ketibaan kami di Kampung Pasir Raja, Dungun disambut kabus tebal yang menutup pemandangan.

Kesejukan embun pagi yang menyelubungi seluruh tubuh membatalkan hasrat kami untuk berhenti sejenak bagi menikmati pemandangan berkabus.

Langkah keselamatan

Mengambil kira langkah keselamatan, setibanya di pos polis bantuan pada pukul 5.15 pagi, kami menyerahkan surat permohonan untuk memasuki hutan bagi memaklumkan pada pihak polis bahawa kumpulan kami ingin mendaki Gunung Berembun.

Ini bertujuan supaya seandainya kumpulan kami tidak turun seperti yang ditetapkan, mudah bagi pihak polis menghantar bantuan.

Sebelum memulakan pengembaraan, semua anggota kumpulan dikehendaki melakukan senaman pagi untuk mengelak berlakunya kekejangan otot semasa mendaki diikuti dengan sarapan nasi himpit dengan kuah kacang bersama teh ‘o’.

Ini diikuti dengan taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas pengembaraan serta peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.

Peserta dan ahli jawatankuasa kembara dibahagikan kepada lima kumpulan yang setiap kumpulan dianggotai lapan orang.

Dengan berbekalkan doa supaya pergembaraan diberkati dan dirahmati kami memulakan perjalanan. Setelah hampir sejam menyusuri denai, langkah kami tiba di Air Terjun Chemerung.

Pujian terhadap pencipta-Nya tidak putus dari mulut kami sambil menikmati keindahan panorama di kawasan itu sementara menunggu kumpulan seterusnya tiba.

Kami juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar untuk diabadikan sebagai kenangan. Puas menjamu mata dan melepaskan lelah, kami merentasi sungai untuk menuju ke destinasi seterusnya. Lebih asyik apabila pengembaraan kami ditemani alunan sungai dan kicauan burung yang seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Cabaran ekspedisi mula terasa dalam perjalanan menuju ke Kem Balak kerana laluan yang perlu ditempuhi mencanak dan kadang-kala agak landai. Peserta sentiasa diingatkan supaya lebih berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kemalangan.

Sungguhpun laluan yang ditempuh tidak sekata, menurut jurupandu kami itu bukanlah cabaran besar kerana yang lebih getir sedang menunggu bila ekspedisi diteruskan untuk menuju ke Kem Air Terjun Lansir.

Pun begitu, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat kami dan akhirnya kami semua berjaya menawan puncak Gunung Berembun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

Peluang melihat matahari terbenam pada hari itu adalah kemuncak kepada kembara kami.

Hari terakhir

Perjalanan pulang pada hari terakhir membawa kami menyusuri laluan naik turun serta terdapat juga pendakian. Tetapi boleh dikatakan laluan menurun lebih banyak jika dibandingkan menaik ataupun mendaki.

Pengembaraan ke Air Terjun Chemerung diteruskan setelah berhenti berehat seketika di check point sebelumnya. Tepat pukul 5.15 petang kami tiba di Air Terjun Chemerung untuk makan dan menunaikan solat.

Setelah selesai, pengembaraan diteruskan untuk keluar dari kawasan hutan. Kumpulan pertama tiba tepat jam 7.30 dan para peserta diarah bersiap dan berkemas-kemas sementara menunggu kumpulan kedua tiba.

Sepanjang kembara, selain menimba pelbagai pengalaman menarik, program ini boleh dianggap berjaya sebagai platfom mahasiswa untuk berorganisasi, mengasah bakat kepimpinan, menguji ketahanan mental dan fizikal dan mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Setiap detik, setiap langkah dan setiap jalinan kerjasama yang ditonjolkan itulah semangat kembara!

Artikel Lain