suria

Saranan Terbit Bahan Kajian Secara Online

KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik menyarankan supaya bahan kajian yang dilakukan oleh cerdik pandai tempatan diterbitkan secara online untuk rujukan semua pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Szarina Abdullah berkata kegiatan penyelidikan dan berkongsi maklumat secara dalam talian mampu mewujudkan masyarakat berilmu.

Menurutnya, masih banyak kalangan penyelidik tempatan yang enggan memaparkan penyelidikan mereka secara online menyebabkan ia tidak dapat dikongsi oleh orang lain.

"Oleh itu adalah penting bagi semua bahan kajian, baik yang dihasilkan oleh ahli akademik mahupun orang awam diterbitkan secara online untuk dijadikan rujukan kepada orang ramai.

"Hasil penyelidikan mengenai sesuatu produk misalnya, jika dipaparkan secara online boleh mendatangkan sumber pendapatan kepada pelbagai pihak," katanya semasa melawat Pusat Maklumat dan Perpustakaan (Infolib) Bernama yang turut menyertai pertandingan Anugerah Perpustakaan Cemerlang anjuran Persatuan Pustakawan Malaysia.

Dr Szarina turut berkata masyarakat Malaysia didapati lebih gemar membaca dan merujuk kepada hasil kajian dari luar negara, berbanding dengan mengambil inisiatif untuk melakukan penyelidikan mereka sendiri.

Infolib Bernama di bawah kendalian pengurusnya Hasnita Ibrahim menyertai pertandingan tersebut bagi kategori perpustakaan kecil yang menumpukan kepada kecemerlangan latihan serta pendidikan pengguna, terutama menerusi produk onlinenya iaitu Bernama Library and Infolink Service (BLIS). - BERNAMA

Artikel Lain