suria

UniMAP Sedia Latihan Mantapkan Modal Insan Sektor Industri

KULIM: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merancang memperkenalkan pengajian baru peringkat pasca siswazah dalam bidang Sains Polimer untuk memenuhi keperluan sektor industri berasaskan teknologi tinggi, kata Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Beliau berkata, pengajian bidang tersebut akan bermula pada sesi pengajian April ini di Anjung UniMAP yang beroperasi di Pusat Perniagaan Taman Teknologi Tingi Kulim(KHTP) di sini.

"Penawaran bidang baru ini dan kursus di Anjung UniMAP mengambil kira faktor keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kebanyakannya tertumpu di KHTP," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Kursus dan latihan yang dianjurkan memberi harapan kepada pekerja sektor industri menambah ilmu dan pengetahuan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan kerjaya mereka.

"Penawaran kursus ini adalah tanggungjawab sosial UniMAP selain menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama membantu memacu pertumbuhan sektor teknologi tinggi," katanya.

Anjung UniMAP dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam, memulakan operasinya November lepas dan berperanan sebagai pusat sehenti mendekatkan hubungan antara UniMAP dengan sektor industri.

Kamarudin berharap pekerja, majikan dan masyarakat sekitar KHTP mengambil peluang memanfaatkan tawaran UniMAP.

Katanya, Pusat Pengajian Siswazah UniMAP yang dinaiktaraf tahun lepas telah melahirkan 36 orang lepasan siswazah baru-baru ini termasuk empat peringkat Ijazah Doktor Falsafah manakala 32 lagi Ijazah Sarjana dalam pelbagai bidang.

Kini seramai 68 penuntut dari Indonesia, India, Iraq, Syria, Jordan, Pakistan, Algeria dan Thailand sedang melanjutkan pelajaran di UniMap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Perkenal Talian Bebas Tol

Artikel Berikut

Artikel Lain