suria

UiTM Sedia 100,000 Tempat Dalam Bidang Kritikal Sesi Akan Datang

TEMERLOH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menyediakan 100,000 lagi tempat dalam bidang-bidang kritikal pada sesi kemasukan akan datang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dengan tawaran yang lebih luas itu, UiTM menyediakan 200,000 tempat bagi sesi 2010/2011 berbanding kira-kira 100,000 tempat pada masa ini.

"Pembukaan lebih banyak tempat bagi pelajar memasuki UiTM akan membolehkan semakin ramai pelajar bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang di universiti itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) peringkat daerah Temerloh di sini, hari ini, Saifuddin berkata, penyediaan tempat itu tidak membabitkan penambahan kampus UiTM.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan Perkasa Pahang yang mahu kerajaan memansuhkan sistem meritokrasi dengan melaksanakan semula sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Saifuddin berkata, secara keseluruhan sistem itu tidak menggugat kemasukan pelajar bumiputera terutama Melayu ke IPTA.

Beliau berkata, tidak dinafikan bilangan kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA pada tahun pertama sistem itu dilaksanakan pada 2003 menunjukkan pengurangan.

"Namun, kita perlu melihat secara keseluruhan statistik itu hingga tahun ini dan jika ia menunjukkan peningkatan, kita akan teruskan tetapi jika sebaliknya, mungkin kita akan kaji semula," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Perkasa Pahang, Dr Zubir Harun dalam ucapannya pada majlis itu berkata, sistem meritokrasi menyebabkan bilangan kemasukan pelajar bumiputera dalam jurusan kritikal semakin berkurangan berbanding sebelum sistem itu dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Lain