suria

5 Pelajar UTM ke Harvard Setahun Bermula Mei

SKUDAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menghantar lima orang mahasiswanya ke University Harvard, Amerika Syarikat setiap tahun bagi mengikuti program summer school selama lapan minggu bermula Mei ini.

Ia merupakan sebahagian daripada 5,000 mahasiswa UTM yang dijangka mengikuti UTM Global Outreach Program di luar negara tahun ini.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Zaini Ujang berkata, program di Harvard adalah sebagai memberi pendedahan kepada mereka terhadap persekitaran antarabangsa supaya mempunyai lebih keyakinan diri, meluaskan jaringan antarabangsa dan seterusnya meningkatkan program pengantarabangsaan UTM.

"Mahasiswa yang dipilih perlu menjalani saringan melalui penulisan esei dan temubual.Di sana mahasiswa akan mengambil 4 kredit mata pelajaran mengikut bidang masing-masing," kata Prof Zaini.

Inisiatif ini adalah selaras dengan dasar pengantarabangsaan UTM untuk memberi pengalaman antarabangsa kepada mahasiswa agar mereka berfikiran kritis dan global khususnya dalam berdepan dalam ekonomi dunia hari ini.

Prof Zaini berkata, kos pembiayaan mahasiswa UTM ke sana akan dibuat melalui penajaan dan sebahagiannya perlu ditanggung oleh mahasiswa.

Antara penajaan yang diterima melalui program ini adalah melalui Syarikat Penerbangan AirAsia Berhad dan Kerajaan Negeri Terengganu.

"Pihak UTM akan menyediakan yuran pengajian, manakala pelajar perlu membayar urusan penginapan sahaja. Kecuali seorang mahasiswa daripada Negeri Terengganu akan ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri yang menyokong penuh program ini, hasil lawatan Menteri Besar ke UTM pada awal Januari baru-baru ini," kata Prof. Zaini.

Bagi dimanfaatkan bersama pengalaman ini, mahasiswa yang berjaya menamatkan program ini perlu membentangkan pengalamannya dalam Seminar Global Outreach yang diadakan setiap tahun untuk dikongsi bersama mahasiswa lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Tumpuan Utama KPT Tahun Ini

Artikel Lain