suria

Dana Pemuliharaan Bangunan Warisan

Menara jam di tengah kawasan Medan Pasar di bina pada 1937.

MEDAN Pasar di Kuala Lumpur pernah menjadi terkenal kerana kesibukannya dengan aktiviti komersial. Kini, kawasan itu sudah menjadi pusat transit pejalan kaki.

Semasa Kuala Lumpur mula dibentuk, Medan Pasar merupakan kawasan untuk masyarakat Cina. Di sini menjadi tempat mereka berkumpul selain mempunyai pasar yang besar dan pusat perjudian yang dikenali sebagai kawasan penempatan Cina yang dibina oleh ketua kaum itu, Yap Ah Loy.

Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa berkata, pusat itu kemudiannya berkembang dengan dihadiri pelbagai kaum dan terpecah kepada beberapa bahagian di sekitar pasar.

“Kawasan Melayu dikenali sebagai Kampung Rawa terletak di bahagian utara di sepanjang Jalan Tun Perak yang sebelum ini dikenali sebagai Java Street (Jalan Jawa). Pedagang India Muslim dan ceti India turut berniaga di kawasan berhampiran.

“Di sepanjang kawasan sungai di bahagian barat, terdapat pusat tumpuan pentadbiran British dengan bangunan-bangunan kerajaan dibina di sekitar kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.

“Masjid, kuil dan gereja turut dibina untuk seiring dengan pertumbuhan pekan dan populasinya,” kata Cardosa.

 Di Medan Pasar pula, Cardosa berkata, rumah Yap terletak di hujung kawasan itu yang kini wujudnya Hotel Pacific Express.

"Selepas kematiannya pada 1882, pasar itu dipindahkan. Pada 1907, kawasan rumah kedai setinggi tiga tingkat dibina di kawasan dengan reka bentuk neoklasik, dihiasi tampal bercorak bungai, berbumbungkan gabel dan birai mengikut garisan panduan pembinaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kebersihan.

“Kemudian, dua struktur yang penuh seni iaitu bangunan Mayban Finance Berhad dan menara jam dibina pada 1937 sebagai memperingati upacara pemahkotaan Raja George IV.

“Corak matahari digunakan pada jam menara manakala plag loyang yang tertera detik pemahkotaan itu pula sudah hilang.

“Beberapa tahun lalu, kawasan tersebut menjadi pusat laluan pejalan kaki,” katanya.

Deretan bangunan neo-klasik di Medan Pasar masih tersergam indah.

Daya tarikan dan kepentingan kawasan itu sudah hilang apabila ditukar daripada sebuah medan pasar kepada hab perkhidmatan bas sebelum menjadi laluan pejalan kaki.

Ekoran perubahan zaman, kebanyakan rumah kedai ditutup walaupun mempunyai ciri-ciri struktur zaman penjajah. Sebagai usaha mengembalikan zaman kegemilanan Medan Pasar, syarikat yang berasakan pertubuhan masyarakat, Think City Sdn Bhd memberi geran untuk memulihkan warisan, kebudayaan dan seni bina bangunan yang berusia lebih 30 tahun itu yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan penting.

Projek itu akan melibatkan lingkungan kawasan seluas satu kilometer berpusat di Masjid Jamek dan pembinaan di luar zon akan dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Selain Medan Pasar, beberapa kawasan penting yang berada dalam lingkungan projek adalah Jalan Tun H.S.Lee, Jalan Tun Perak, Leboh Ampang dan Jalan Tun Tan Siew Sin.

Ketua Komunikasi Korporat dan Pengarah Program Think City Kuala Lumpur, Lee Jia Ping berkata, Program Geran Think City (TCGP) diwujudkan dengan objektif mengajak orang ramai terlibat secara aktif bagi memperbaiki dan memberi nafas baharu kepada bandar yang mereka diami.

“Kami menggalakkan dan menyokong usaha ini dilakukan di tempat lain tetapi di Kuala Lumpur khususnya, kami memberi tumpuan kepada projek yang melibatkan pemuliharaan warisan.

“Jika terdapat rakyat yang memiliki bangunan yang memiliki nilai sejarah, kami sedia membantu untuk menyokong mereka menerusi program ini.

“Matlamat kami untuk menggalakkan pemuliharaan dan pemulihan bangunan bersejarah supaya kita tidak kehilangan warisan kita sendiri,” katanya.

Think City turut mempunyai projek di George Town, Butterworth dan Johor Baru. 

Jia Ping berkata, terdapat empat jenis geran berjumlah antara RM10,000 sehingga RM200,000 setiap satu.

Bangunan Loke Yew setinggi enam tingkat antara binaan yang menjadi mercu tanda di Medan Pasar.

“Geran diberikan kepada projek yang sudah wujud dan memerlukan sokongan bagi memulihkan nilai warisan dengan melibatkan isu seperti mobiliti, kehijauan, pengurusan sisa, sistem saliran dan pasaran awam.

“Kami juga menawarkan geran untuk memulihkan hartanah dan boleh dibayar semula tanpa dikenakan bunga jika aset itu dijual dalam tempoh 10 tahun. Terdapat juga geran khas yang menawarkan pelbagai kepakaran teknikal.

“Bagi memastikan program ini merangkumi objektif secara keseluruhannya, tidak banyak syarat dikenakan.

“Sesiapa sahaja boleh memohon TCGP termasuk individu, pertubuhan atau secara berkumpulan. Tetapi permohonan ini terhad mengikut kawasan.

Kata Jia Ping, setiap projek mempamerkan kebaikan yang unik kepada bandar, penduduknya, dan Think City sebagai penjaga geran.

“Kami berharap dalam meningkatkan rangkaian kami bagi membina kerjasama yang strategik dan menguntungkan bersama pemilik bangunan.

“Program ini akan memberi galakan yang baik kepada mereka untuk meneruskan usaha pemuliharaan.

“Lebih jelas lagi, ramai orang daripada industri kreatif atau usahawan sosial mempunyai idea yang menarik bagi memberi kebaikan kepada bandar.

“Namun masalah ruang menjadi penghalang idea itu dikembangkan dan satu lagi masalah adalah sewa yang tinggi.

“Jadi kami berharap dengan pemberian geran kepada pemilik ini dapat memberi nafas baharu kepada bangunan tersebut dan pada masa yang sama memberi geran kepada penyewa untuk melakukan pemuliharaan bahagian dalaman bangunan.

“Kami berharap rundingan dengan pemilik hartanah boleh menawarkan sewa yang setimpal supaya kedua-dua pihak memperoleh keuntungan yang adil,” katanya.

Jia Ping menjelaskan, objektif utama program geran itu adalah untuk memastikan semua bandar di negara ini mewujudkan persekitaran baharu, bernilai dan mapan kepada penduduknya dalam meningkatkan kualiti hidup.

“Bandar ini akan mempunyai keupayaan untuk menarik perhatian dan memiliki bakat (penduduk) berkelas dunia, ciri-ciri penting untuk menjana ekonomi.

“Secara khususnya, kami berharap dapat melihat sebuah bandar yang mapan dan bertenaga selain mewujudkan masyarakat yang mengambil berat terhadap nilai sejarah dan warisan serta mewujudkan perniagaan kecil yang berdaya saing dan berkembang pesat.

“Bagi kami, manfaat besar ini merupakan ekosistem sihat yang boleh bertahan selama beberapa generasi.

Penilaian terhadap TCGP dilaksanakan dua kali setahun. Think City menerima permohonan bermula hari ini sehingga 31 Julai 2016. Borang boleh diperolehi daripada http://thinkcity.com.my/.

Artikel Lain