suria

Iran tolak rundingan gencatan senjata selagi diserang Israel

Tel Aviv diserang menggunakan peluru berpandu dari Iran. -Foto Khaleej Times

IRAN memaklumkan kepada pihak perantara Qatar dan Oman bahawa negara itu tidak bersedia untuk rundingan gencatan senjata selagi masih diserang Israel.

Perkara itu dinyatakan seorang pegawai yang mendapat taklimat komunikasi tersebut kepada agensi Reuters pada Ahad, ketika kedua-dua pihak melancarkan serangan baharu yang mencetuskan kebimbangan terhadap konflik yang lebih besar.

Menurut pegawai itu yang tidak mahu identitinya didedahkan, Iran memaklumkan kepada perantara dari Qatar dan Oman bahawa mereka hanya akan mempertimbangkan rundingan serius selepas negara itu selesai memberikan maklum balas terhadap serangan awal Israel.

"Iran secara jelas menyatakan bahawa mereka tidak akan berunding selagi masih diserang Israel," katanya.

Israel telah melancarkan serangan mengejut ke atas Iran pada Jumaat pagi yang menyebabkan barisan tertinggi kepimpinan tentera Iran terkorban dan beberapa tapak nuklear negara itu mengalami kerosakan.

Israel menyatakan bahawa serangan itu akan terus dipertingkatkan dalam beberapa hari akan datang.

Iran pula berikrar untuk 'membuka pintu neraka' sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut, yang dilihat sebagai konfrontasi terbesar antara dua musuh lama itu.

Pegawai itu turut memberitahu Reuters bahawa laporan media yang mendakwa Iran meminta Oman dan Qatar untuk melibatkan Amerika Syarikat bagi menjadi pengantara gencatan senjata dan menyambung semula rundingan nuklear adalah tidak tepat.

Kementerian Luar Negeri Iran tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters, begitu juga dengan Kementerian Luar Negeri Qatar dan Kementerian Penerangan Oman.

Oman sebelum ini pernah menjadi perantara dalam rundingan nuklear antara Amerika Syarikat dan Iran, namun pusingan terakhir rundingan telah dibatalkan sehari selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran.

Qatar juga sebelum ini memainkan peranan sebagai fasilitator rundingan antara kedua-dua musuh itu, termasuk menjadi pengantara dalam perjanjian pertukaran tahanan pada 2023.

Oman dan Qatar mempunyai hubungan baik dengan Iran dan Amerika Syarikat, dan kedua-dua negara itu juga pernah berhubung secara langsung dengan Israel. -Agensi

Artikel Lain