suria

Sepuluh minit berpantang ajal... Wanita tersekat dalam trafik terlepas naiki pesawat Air India, menggigil dapat tahu berita terhempas

Bhoomi Chauhan terlepas menaiki pesawat Air India akibat terperangkap dalam lalu lintas. -Foto Agensi

SEORANG wanita yang terlepas penerbangan Air India AI171 menggigil dan terkejut apabila mengetahui pesawat itu terhempas.

Dikenali sebagai Bhoomi Chauhan, ketika kejadian pada Khamis itu dia dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sardar Vallabhbhai.

Namun, dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan hanya tiba di lapangan terbang di Ahmedabad selepas 10 minit pesawat berkenaan berlepas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Selamat tinggal India” - Dua sahabat baik kongsi rakaman terakhir sebelum ‘boarding’, tak sabar nak pulang ke UK

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya lompat keluar dari pintu kecemasan, penumpang ‘ajaib’ imbas detik ngeri sebelum pesawat Air India terhempas

Bagaimanapun pesawat yang menuju ke Lapangan Terbang Gatwick London itu terhempas sejurus selepas berlepas, membunuh 229 penumpang dan 12 anak kapal.

Lelaki warganegara Britain, Vishwash Kumar Ramesh adalah satu-satunya individu yang terselamat daripada 242 penumpang yang berada di dalam pesawat malang berkenaan.

Bercerita lanjut tentang insiden itu, Bhoomi berkata dia diberitahu tentang nahas berkenaan sejurus tiba di pintu masuk di balai pelepasan.

Dia berada di Ahmedabad untuk melawat keluarga dan dijadual pulang semula kepada suaminya di London.

"Fikiran menjadi mati seketika selepas diberitahu tentang nahas itu. Badan dan kaki saya menggigil," kata Bhoomi. -Agensi

Artikel Lain