suria

Perbincangan isu tanah pusaka berakhir tragedi, warga emas terkorban di tangan adik sendiri

Ada individu sanggup melakukan jenayah hanya kerana berebut harta. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 53 tahun ditahan selepas membunuh abangnya, dipercayai berpunca daripada pertikaian mengenai tanah pusaka ibu bapa mereka.

Menurut polis, kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 55 tahun, datang ke rumah sewa suspek untuk menyelesaikan urusan mengenai tanah berkenaan. 

Bagaimanapun, dua beradik tersebut berselisih faham hingga akhirnya membawa kepada pertumpahan darah, apabila suspek menggunakan senjata tajam untuk membunuh abangnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu (22 Februari) di Desa Cikahuripan, Kadudampit, Jawa Barat itu, mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan pada belakang kepala, pelipis, dahi, dada dan lengan  akibat libasan senjata berkenaan.

"Suspek dikepung penduduk ketika itu menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri. 

"Kemudian penduduk melaporkannya kepada pihak polis dan kami berjaya menahannya satu jam selepas dia melakukan jenayah tersebut," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kota Sukabumi, AKP Bagus Panuntun.

Ujarnya, setakat ini pihak polis sudah mengambil keterangan enam saksi.

Suspek bakal didakwa mengikut Perkara 340 Kanun Jenayah mengenai pembunuhan berencana, Perkara 338 dan Perkara 351 serta berdepan dengan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. -Agensi 

Artikel Lain