suria

Gaduh kerana sempadan kebun, pemuda maut ditetak berulang kali

Seorang pemuda maut ditetak berulang kali gara-gara isu sempadan tanah kebun. -Gambar hiasan

SEORANG pemuda maut ditetak berulang kali gara-gara bertengkar kerana isu sempadan tanah kebun.

Mangsa merupakan lelaki berusia 23 tahun.

Kejadian berlaku di Kampung Menanga Siamang, Kecamatan Banjit, Kabupaten Way Kanan di Lampung, Indonesia pada Ahad.

Ketua daerah Banjit, Kapten M Pardede berkata, insiden pergaduhan antara penduduk berlaku di Kebun di Kampung Juku Batu, Kecamatan Banjit, Kabupaten Way Kanan.

Beliau berkata, mangsa dan adiknya datang ke rumah Ketua Kampung Juku Batu untuk menyelesaikan masalah sempadan kebun.

Menurutnya, setibanya di rumah ketua kampung, datang dua individu yang berbual sambil menjerit.

"Kemudian salah seorangnya berdiri dan mengambil parang daripada motosikal adik mangsa dan segera menetak mangsa berulang kali di kepala. Mangsa rebah, pelaku dan rakannya kemudian melarikan diri," katanya.

Pardede memberitahu, mangsa dikejarkan ke hospital, namun kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Kes tersebut masih dalam siasatan.

Sebagai peringatan, perbuatan keganasan adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Agensi

Artikel Lain