suria

Gigih menabung hasil pekerjaan sebagai tukang urut, nenek 94 tahun akhirnya bakal tunai haji

Nenek Solati akhirnya bakal menjadi jemaah haji untuk tahun ini.

SEKIAN lama berhasrat untuk menunaikan ibadah haji, impian seorang warga emas bakal terlaksana selepas dia tersenarai sebagai salah seorang jemaah pada tahun ini.

Warga emas yang dikenali sebagai Nenek Solati, 94, dari Kampung Menganto, Jombang, Jawa Timur menabung selama berpuluh-puluh tahun hasil pekerjaannya sebagai tukang urut.

Anak Nenek Solati, Tiami, 54, berkata, ibunya sudah merancang untuk menunaikan ibadah haji sejak berusia 30 tahun lagi.

Selain daripada bekerja sebagai tukang urut, Tiami juga berkata ibunya mengumpul wang yang diperoleh daripada pekerjaan sebagai buruh tani.

Berkat menabung, Solati akhirnya berjaya menyimpan wang berjumlah 56 juta rupiah (RM17,269) untuk menampung kos menunaikan haji.

Solati sebelum ini juga sudah dua kali menunaikan umrah dengan hasil wang simpanannya.

Menurut Tiami, ibunya sudah mendaftar untuk menunaikan haji sejak 2018.

Bagaimanapun niatnya ke Tanah Suci Mekah tertangguh akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

"Saya sebagai anaknya tidak dapat menemaninya. Saya mendoakan agar dia sihat di sana, dan apabila pulang ke rumah dia juga sihat," kata Tiami.- Liputan6

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain