suria

Tak putus asa... Warga emas lulus ujian memandu selepas lalui 960 percubaan, ‘labur’ hampir RM60,000!

Hyundai menghadiahkan Sa-soon sebuah kenderaan kerana kagum dengan semangat wanita tersebut. Foto: Reddit

TIDAK kenal erti putus asa.

Itulah kata-kata yang sesuai bagi menggambarkan semangat seorang wanita dari Korea Selatan ini yang akhirnya lulus ujian memandu pada percubaan kali ke-960!

Cha Sa-soon, 69, mula menduduki ujian bertulis pada April 2005 dan selepas gagal buat kali pertama, dia terus mengambilnya semula pada setiap hari dalam lima hari seminggu, selama tiga tahun dengan keseluruhan 780 percubaan.

Selepas itu, warga emas tersebut mengambil ujian hanya dua kali dalam seminggu sehingga dia akhirnya lulus dan mara ke peringkat ujian praktikal latihan memandu.

Sa-soon lulus ujian memandu selepas mencuba 10 kali, bererti dia telah melalui 960 ujian secara keseluruhan sebelum akhirnya mendapat lesen.

Wanita tersebut tidak berputus asa kerana dia memerlukan lesen kenderaan untuk memudahkannya menjalankan perniagaan sayur-sayuran.

Menurut laporan, Sa-soon membelanjakan hampir £11,000 (RM59,727) untuk mendapatkan lesen memandu.

Guru memandunya di Sekolah Memandu Jeonbuk berkata, dia berasa lega apabila Sa-soon akhirnya berjaya mendapat lesen.

Kisah Sa-soon membuatkannya menjadi terkenal di negaranya dan siapa sangka, dia muncul dalam iklan syarikat pengeluar kereta, Hyundai.

Hyundai malah menghadiahkan Sa-soon sebuah kenderaan baharu berharga hampir £11,640 (RM63,201). - Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain