suria

Lelaki buat kerja gila... Panjat bumbung stadium, kencing atas kepala peminat ragbi

Lelaki itu ditahan pada Sabtu dan akan dibicarakan pada 25 Julai.

SEORANG lelaki bertindak 'gila' apabila dia memanjat bumbung sebuah stadium di Australia.

Lebih teruk, dia turut membuang air kecil ke arah penonton yang sedang duduk menyaksikan perlawanan ragbi.

Kejadian itu berlaku ketika perlawanan Ujian Wallabies antara pasukan England dan Australia pada Sabtu.

Pada awalnya, dia memanjat papan skor perlawanan sebelum naik lebih tinggi ke atas bumbung stadium.

Tindakan itu menyebabkan dia ditangkap oleh Polis New South Wales (NSW).

Polis NSW mengesahkan kepada laman web Aussie news.com.au bahawa seorang lelaki berusia 31 tahun telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Surry Hills berikutan insiden yang berlaku.

"Seorang lelaki berada di stadium sukan di Moore Park apabila dia didakwa memanjat ke atas papan skor dalam stadium, dan ke atas bumbung tempat penonton.

"Lelaki berusia 31 tahun itu dibawa ke Balai Polis Surry Hills yang mana dia didakwa berkelakuan biadab di tempat awam dan memanjat bangunan di kawasan terlarang," ujar kenyataan polis.

Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa lelaki itu telah diberikan jaminan bersyarat dan akan dihadapkan ke mahkamah tempatan pada 25 Julai.

Sementara itu seorang jurucakap mengesahkan bahawa lelaki terbabit akan diharamkan masuk ke stadium tersebut selama dua tahun. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain