suria

Bunuh bapa dengan pisau buah, remaja autisme dijatuhkan hukuman penahanan 5 tahun

Remaja tersebut mengaku membunuh bapanya dengan pisau buah pada Disember 2020.

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku membunuh bapanya dengan menikam lehernya dengan pisau buah pada Disember 2020.

Budak lelaki itu dijatuhi hukuman penahanan lima tahun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan membunuh.

Di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, budak lelaki tersebut dan anggota keluarganya tidak boleh dinamakan.

Mahkamah di Singapura diberitahu bahawa remaja lelaki itu mengalami masalah autisme sejak kecil lagi dan didaftarkan di sekolah berkeperluan khas semasa Darjah 1.

Dia dipindahkan ke sekolah biasa tidak lama selepas itu, kerana disifatkan boleh "berkelakuan seperti pelajar biasa", menurut dokumen mahkamah.

Pada 2018, dia didiagnosis mengalami gangguan permainan internet selepas dirujuk kepada Khidmat Pengurusan Ketagihan Kebangsaan di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Dia dikatakan menghabiskan banyak masa bermain permainan komputer.

Mahkamah dimaklumkan bahawa remaja itu mempunyai hubungan yang secara “keseluruhannya mesra" dengan adik dan ibunya, tetapi mempunyai "hubungan yang sukar" dengan bapanya, yang dianggapnya "terlalu mengawal".

Mangsa mengawasi anaknya “dengan rapat", mengehadkan akses kepada telefon bimbit dan permainan komputer serta menetapkan tugasan-tugasan, termasuk mencuci pakaian, kerja sekolah dan membuat latihan pelajaran, menurut mahkamah.

Apabila remaja itu sesekali gagal mematuhi arahan, bapanya akan memukul dan memaki hamunnya.

Dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, tetapi dia mula terfikir untuk membunuh bapanya pada Jun 2020, apabila bapanya melarangnya bermain komputer selama sebulan.

TIKAM LEHER BAPANYA

Pada 11 Disember 2020, remaja tersebut dan adiknya bersendirian di rumah bersama bapa mereka. Ibu mereka sudah pergi bekerja.

Bapa remaja itu sedang mencuci pakaian dan menjadi marah apabila tidak menemui senduk sabun baju dan bertanya remaja itu seandainya dia menyembunyikannya. Remaja itu menafikannya.

Walaupun marah kerana disoal, remaja itu membantu untuk mencuci pakaian dengan mencedok sabun basuh baju menggunakan tangannya, menurut mahkamah.

Sejak itu, remaja tersebut mula berfikir untuk membunuh bapanya "supaya dia bebas daripada bapanya", menurut mahkamah.

Dia kemudiannya pergi ke dapur dan cuba menyembunyikan pisau di dalam sakunya tetapi mendapati ia terlalu besar dan sukar untuk disembunyikan.

Dia sebaliknya mengambil pisau buah – dengan mata berukuran kira-kira 9.5 sentimeter - dan menyembunyikannya di dalam kocek, sebelum kembali ke biliknya.

Apabila dia mendengar bapanya meminta adiknya untuk mencuci pakaian, dia keluar dari biliknya dan pergi ke dapur dan melihat kedua-duanya sedang mencuci pakaian.

Remaja itu "bertambah marah" apabila dia mendengar bapanya memberitahu adiknya bahawa remaja itu membuang senduk sabun basuh baju, menurut mahkamah.

"Dia terkilan kerana dituduh atas sesuatu yang tidak dilakukannya," menurut mahkamah.

Mangsa melihat remaja itu di dapur dan sekali lagi menuduhnya menyebabkan senduk sabun baju hilang, menurut dokumen mahkamah. Budak lelaki itu menafikan membuang senduk itu dan kembali ke biliknya.

Semasa di dalam biliknya, remaja itu memikirkan bagaimana bapanya terlalu tegas dan mengehadkan masa lapangnya.

Kira-kira pukul 10.10 pagi, remaja itu kembali ke dapur dan melihat bapanya sedang membongkok di tempat mencuci baju di sebelah adiknya, lalu dia menikam bapanya sekali pada sebelah kiri leher "dengan niat menyebabkan kematian pada si mati", menurut dokumen mahkamah.

Remaja itu kemudiannya meletakkan pisau di sinki dapur dan berlari ke bilik.

Bapanya sempat berjalan ke ruang tamu dan duduk di kerusi, manakala anak bongsunya menghubungi ambulans dan ibunya.

Remaja itu keluar dari biliknya dan "berkali-kali memohon maaf" kepada bapa dan adiknya.

Dia turut membantu adiknya menekan luka pada leher bapanya dengan tuala untuk menghentikan berdarah.

Bapanya bagaimanapun pengsan dan rebah ke lantai.

Paramedik dan pegawai polis tiba pada pukul 10.21 pagi dan cuba menyedarkan semula mangsa, tetapi tidak berjaya.

Dia dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi.

Remaja itu mengaku kepada pegawai polis di flat itu bahawa dia menikam bapanya dan dia ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari.

PENILAIAN KEADAAN MENTAL REMAJA

Dr Ong Say How dari Institut Kesihatan Mental menjalankan penilaian terhadap keadaan mental remaja itu berikutan penangkapannya.

Remaja lelaki itu disahkan menghidap gangguan spektrum autisme namun dia mampu berfungsi seperti pelajar biasa kerana dia dapat menamatkan pendidikan sekolah rendahnya di sekolah biasa, menurut dokumen mahkamah.

Dia juga menunjukkan sifat obsesif-kompulsif.

Dr Ong berkata gangguan spektrum autisme dan sifat obsesif-kompulsif remaja itu tiada "kaitan penyebab atau penyumbang kepada kesalahan" dan dia mempunyai "kematangan yang mencukupi" untuk memahami dan menilai sifat dan akibat perbuatannya semasa melakukan kesalahan tersebut.

Dia juga menilai bahawa risiko remaja itu untuk mengulangi keganasan adalah "rendah".

Timbalan Pendakwa Raya Lim Shin Hui meminta remaja itu ditahan selama lima hingga tujuh tahun.

Dia berkata bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk membiarkan remaja itu, yang akan berusia 16 tahun pada bulan Februari ini, untuk terus tinggal di rumah tumpangan. Dia bakal menduduki peperiksaan peringkat “O” tahun ini.

Sekiranya meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya, dia akan dipindahkan ke penjara di mana dia akan mempunyai akses kepada kemudahan, termasuk sokongan akademik yang diperlukan, tambah Lim.

Shashi Nathan, yang mewakili remaja itu, memohonkan hukuman penahanan selama tiga hingga lima tahun.

Remaja itu bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan baik di rumah tumpangan tersebut, katanya.

Dia menambah bahawa ibu dan adik remaja itu melawatnya seminggu sekali, dan adik-beradik itu kini mempunyai hubungan yang rapat.

Menyifatkannya sebagai "budak muda yang pintar", Nathan berkata remaja itu boleh menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.

Katanya remaja lelaki itu akan bermain permainan untuk melarikan diri ke alam fantasi.

“Realiti adalah peringatan yang berterusan setiap hari bahawa dia memusnahkan keluarganya. Dia terpaksa hidup dengan rasa bersalah kerana kehilangan bapanya sepanjang hayat,” ujar Nathan.

Hakim Aedit Abdullah memberitahu remaja itu bahawa beliau berharap dia akan memikirkan apa yang sudah berlaku dan menambah bahawa walaupun beberapa tahun berikut akan "sukar", akan ada sokongan untuknya.

Hakim menambah, beliau berharap remaja itu tampil memberi sumbangan kepada keluarganya dan masyarakat. - CNA

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

remaja, autisme, bunuh, bapa, mati, tikam, pisau, buah

Artikel Lain